SAIFUL ISLAM Mohamed Nasir (tiga dari kiri) menyerahkan kad Kompleks IMAM kepada Muhamad Khanafi Husin di Embun Resort, Putrajaya baru-baru ini.
Oleh AMREE AHMAD

UNIK… Lazimnya, pelajar tahfiz hanya dijemput menghadiri majlis berbuka puasa oleh pihak tertentu sebelum mereka pulang ke institusi mereka selepas selesai program iftar berkenaan.

Namun, kali ini lebih 50 pelajar dari beberapa pusat tahfiz di sekitar Lembah Klang diberikan peluang untuk ‘berkampung’ hampir sebulan sepanjang Ramadan di sebuah pusat peranginan ternama.

Menurut Timbalan Pengerusi Pertubuhan Sayang Al-Quran, Saiful Islam Mohamed Nasir, program dikenali sebagai Madrasah Ramadan Kembali itu malah adalah julung kali diadakan.

“Nama ini juga jadi lagu tema kami diambil bersempena dengan lagu Ramadan Kembali oleh kumpulan nasyid Inteam, Zayne dan Isman Hijjaz yang baru dilancar awal bulan ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis Perasmian Pembinaan Kompleks IMAM dan Memorandum Persefahaman dengan pelbagai rakan strategik di Embun Resort, Putrajaya baru-baru ini.

Ia disempurnakan Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin yang juga ialah Pengerusi DPIM Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Juga hadir ialah Pengerusi Pertubuhan Sayang Al-Quran, Mejar (Bersara) Mohamad Qayyum A. Badarudin dan turut menampilkan persembahan beberapa lagu eksklusif oleh artis Inteam.

Mengulas lanjut, Saiful Islam berkata, sepanjang 28 hari berada di resort itu, pelbagai program telah disusun selain aktiviti berbuka puasa, solat sunat tarawih, tadarus, qiamullail dan sahur.

“Kesemua pelajar ini didatangkan khas dari tiga pusat tahfiz cawangan kami sendiri termasuk di Putrajaya dan satu lagi institusi tahfiz luar yang dijemput dari Kajang, Selangor,” kata beliau.

Pengasas Akademi Tahfiz Al-Islah yang berpusat di Cheras, Selangor itu berharap program unik sedemikian dapat dianjurkan setiap tahun sekali gus mengimarahkan bulan Ramadan-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here