KIRI ke kanan: Ariffin zakaria, Hamad kama Piah, Md Nor Yusof.

 

TUN ARIFFIN ZAKARIA bekas Ketua Hakim Negara telah dikemukakan sebagai calon Pengerusi Permodalan Nasional Berhad  (PNB).

Beliau dikatakan akan menggantikan Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz yang menamatkan  tempoh selama  tiga tahun pada 30 April 2021.

Pengumuman calon sebenar difahamkan akan dibuat sedikit masa lagi.

Apa pun difahamkan beberapa lagi calon yang berpengalaman juga sedang dinilai. Antaranya bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman yang berkhidmat selama 36 tahun di institusi itu. Lapan belas tahun memegang pelbagai jawatan di PNB dan baki 18 tahun lagi mengepalai pengurusannya.

Hamad Kama Piah, 69, kini Pengerusi Kumpulan UMW Corporation Berhad telah bersama PNB tanpa sebarang skandal dengan berjaya menerajuinya dengan stabil. Dividen yang ditaburkan kepada pelabur waktu itu amatlah konsisten dan tinggi.

Kecemerlangan paling ketaranya ialah melonjakkan nilai aset PNB dari RM20 bilion hinggalah ke angka RM275 bilion sepanjang pentadbirannya.

Perancangannya dikagumi terutama langkah membeli firma dan hartanah di dalam serta luar negara. Antara syarikat besar yang dibawa ke genggaman PNB seperti SP Setia Berhad, Chemical Company of Malaysia dan Duopharma Biotech Berhad.

Seorang lagi tokoh yang dikatakan dalam perhatian ialah Tan Sri Md. Nor Yusof. Ketokohannya bermula sebagai Pengawal Kewangan di The New Straits Times Press (M) Berhad. Beliau kemudian mengetuai Bank of Commerce Berhad sebagai pengerusi dan merupakan arkitek pengambilan alih institusi kewangan lain antaranya United Asian Bank Berhad,  Bank Bumiputra Malaysia Berhad  dan Southern Bank Berhad.

Beliau juga bekas Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti.

Kini Md. Nor kekal sebagai Pengerusi Tabung Haji, Pelaburan Hartanah Berhad serta Yayasan CIMB.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here