Oleh Arrazzaq Nazri

KUALA LUMPUR– Tindakan pihak tertentu mempersenda dengan perilaku dan perkataan yang tidak beradab terhadap mufti adalah suatu yang keterlaluan dan dicela pada syarak.

Menurut Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan: “Tidak mengapa untuk berbeza pendapat dengan mufti jika anda mempunyai hujah bersandar nas yang jelas dan benar.

“Mufti selayaknya dihormati sebagaimana kita menghormati urusan kesihatan apabila ia diungkap oleh doktor pakar. Kita menghormati urusan kewangan apabila ia diungkap oleh pakar ekonomi.

“Mufti bukan sahaja memiliki autoriti, malah mempunyai kepakaran di dalam bidangnya kerana mereka menjunjung sebuah institusi yang sangat penting khususnya membabitkan pelaksanaan dan rujukan syariat Islam,” katanya dalam entri Facebooknya.

Nasrudin berkata demikian sebagai reaksi kepada segelintir masyarakat yang mengeluarkan kata-kata tidak beradab terhadap Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah susulan isu hukum merentas negeri yang dikeluarkannya semalam.

Semalam Luqman dilaporkan berkata, hukum melanggar larangan merentas negeri ditetapkan kerajaan untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri adalah haram.

Menurut laporan media lagi, beliau berkata, hal ini kerana asas kepada larangan rentas negeri perlu dilihat daripada hadis Rasulullah SAW mengenai wabak penyakit taun.

Katanya, Rasulullah SAW menyebut supaya umat manusia mengelak ke sesuatu tempat jika mendengar mengenai penyebaran sesuatu wabak penyakit dan mereka yang sudah sedia berada di tempat itu, tidak boleh keluar daripada kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut Nasrudin berkata, kenyataan mufti sepatutnya dinilai dengan beradab walaupun seseorang itu tidak mahu menerima pendapat yang dikeluarkan daripadanya.

“Ini lebih malang yang lantang mempertikai dengan nada lancang dan tidak manis adalah dalam kalangan mereka yang tidak mendalami ilmu agama.

“Selayaknya, jika mereka gagal memahami sesuatu kenyataan yang melibatkan hukum dalam sesuatu isu, hendaklah mengambil sikap bertanya dan merujuk kembali kepada pejabat mufti,” katanya.- BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here