ASYRAF Wajdi/ Foto: NSTP/ASWADI ALIAS..

PETALING JAYA – Pemuda Umno menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat semua wakil rakyat yang melompat parti.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, agensi anti-rasuah itu patut berbuat demikian tanpa rasa “gentar atau pilih kasih”

“Sebelum ‘nasi menjadi bubur’, amat wajar sekali SPRM mengambil tindakan segera dan serius ‘without fear or favour’ bagi menyelamatkan negara daripada berterusan dirundung persepsi buruk, bukan sahaja rakyat, tetapi masyarakat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mahu SPRM menyiasat ahli politik yang melompat parti.

Katanya, dalam politik, beliau melihat rasuah ada di mana-mana.

“(Pemimpin) mabuk kuasa dan sedia membeli orang lain dan mengugut (yang enggan dibeli). Itu adalah rasuah,” katanya dalam sidang media semalam.

Terdahulu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim mendakwa beberapa Ahli Parlimen partinya ditawarkan wang untuk keluar parti dan menyokong Perikatan Nasional. Sabah dan Sarawak turut menyaksikan sejumlah wakil rakyat melompat parti.

Asyraf berkata, dakwaan Hamid “amat serius walaupun agak terlambat” dan ini mampu memusnahkan negara, jika dibiarkan.

“Amat serius kerana didedahkan oleh seorang ketua polis negara yang mengesahkan tanggapan umum bahawa kerajaan PN hari ini banyak terpalit dengan pelbagai aktiviti jual beli pemimpin politik untuk terus kekal berkuasa,” katanya sambil mendakwa kerajaan semasa juga terpalit insiden “ramai yang disucikan daripada pendakwaan dan penyiasatan”.

Pendedahan Hamid, Asyraf berkata, agak terlambat kerana beliau hanya bersuara ketika kontraknya sebagai ketua polis negara hampir tamat.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/01/sprm-digesa-siasat-wakil-rakyat-lompat-parti-sebelum-terlambat/

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here