Akmal Nasrullah Mohd. Nasir
Oleh Arrazzaq Nazri

KUALA LUMPUR – Pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador wujudnya campur tangan politik dalam agensi itu merupakan satu tamparan hebat yang merobek sistem pentadbiran negara.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir, perkara tersebut adalah satu penghinaan terhadap anggota polis bagi memenuhi serta melindungi kehendak politik sesetengah pihak.

“Satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diletakkan di bawah Parlimen perlu segera diwujudkan bagi menyiasat skandal terbesar yang mencemarkan negara dan nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.

“Negara semalam (Jumaat) dikejutkan dengan pengakuan terbuka Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang bahawa beliau merupakan individu dalam audio yang tular di media sosial berhubung dakwaan campur tangan dalam pelantikan polis. Pada 12 April lalu, beliau menafikan campur tangan tersebut,”katanya dalam entri Facebook rasminya.

Semalam media melaporkan dalam satu sidang akhbar khas, Abdul Hamid tiga hari sebelum melepaskan jawatan, mengeluh berkaitan campur tangan politik dalam pasukannya.

Malah, dia mengakui tidak senang dan mempunyai hubungan tidak baik atau “bad blood” dengan Hamzah.

Akmal Nasrullah berkata, audio terbabit perlu diberi perhatian serius apabila pelantikan pegawai tinggi polis tidak lagi berpandukan merit yang sepatutnya tetapi lebih kepada memilih ‘kroni’ menteri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru menegaskan, pengakuan Hamzah secara terang-terangan merupakan suatu penyalahgunaan kuasa serta kedudukannya sebagai menteri dan Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Walaupun Hamzah merupakan Pengerusi SPP namun beliau tiada kuasa mutlak dalam membuat keputusan dan masih mempunyai limitasi yang perlu dipatuhi.

“Semua keputusan tersebut perlu melalui proses saringan berdasarkan kriteria dipersetujui oleh SPP.
Bagaimanapun pendedahan dan pengakuan Menteri KDN telah mencemarkan nama baik SPP dan memberikan isyarat bahawa suruhanjaya itu tidak bebas dan bertindak hanya dengan telunjuk menteri,” katanya.

Lebih malang lagi katanya, apabila aduan oleh Ketua Polis Negara itu telah disampaikan sendiri kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Beliau menambah, gejala sebegini masih terus berlaku tanpa ada sebarang tindakan susulan bagi mengekang budaya ini dari terus berleluasa.- BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here