Oleh Zainal AS Rashid

POLIS di Turki telah menangkap lebih 200 orang kerana menyertai tunjuk perasaan pada Hari Pekerja yang turut menyaksikan perhimpunan diadakan di serata dunia walaupun pandemik Covid-19 terus menular.

Perarakan oleh pekerja dan kesatuan pekerja diadakan pada 1 Mei setiap tahun sebagai sebahagian daripada acara perayaan Hari Pekerja (Buruh) di kebanyakan negara.

Tahun ini perhimpunan berlangsung berlatarbelakangkan pandemik Covid-19 yang telah meragut berjuta nyawa, memusnahkan kehidupan dan mengucar-ngacirkan ekonomi sebahagian besar negara di dunia.

Di hampir semua negara polis dikerahkan bagi menghadapi kemungkinan berlaku kekacauan dan memastikan pematuhan amalan SOP Covid-19.

Sambutan secara sederhana diadakan di Jerman, Rusia, Sepanyol, Sweden, United Kingdom, Cuba, Colombia, Filipina, Indonesia dan negara-negara lain. Demonstrasi kebanyakan diadakan secara aman.

Bagaimana pun, Turki antara beberapa negara di mana polis terpaksa bertindak tegas setelah perhimpunan bertukar menjadi ganas pada Sabtu.

Menurut pejabat gabenor Istanbul 212 orang ditangkap kerana cuba merempuh masuk ke Dataran Taksim yang merupakan kawasan simbolik untuk protes di negara itu, lapor bbc.com.

Gambar yang dikongsi melalui media sosial menunjukkan polis menggunakan perisai untuk menahan kemaraan penunjuk perasaan, selain mengheret mereka yang degil.

Pada awal minggu ini Turki diletakkan di bawah perintah ‘lockdown’ dalam usaha untuk mengekang lonjakan jangkitan Covid-19 dan kadar kematian.

Di Perancis, sekurang-kurangnya 46 orang ditangkap di Paris setelah peserta perarakan bertempur dengan polis dengan membaling batu, memecahkan tingkap bangunan dan membakar tong sampah.

Menurut kementerian Dalam Negeri Perancis lebih 160,000 orang berarak di sekurang-kurangnya 300 lokasi di Paris dan bandar raya lain, termasuk Lyon, Nantes, Lille dan Toulouse.

Penunjuk perasaan menyuarakan bantahan terhadap rancangan kerajaan untuk meminda manfaat bagi yang hilang pekerjaan dan mendesak dilaksanakan dasar ekonomi yang lebih adil.

Desakan yang sama turut disuarakan oleh penunjuk perasaan di Jerman.

Di Berlin, beribu anggota polis dikerah bagi menangani beberapa demonstrasi, termasuk satu yang membantah strategi Covid-19 kerajaan.

Juga dianggarkan sekurang-kurangnya 10,000 penunjuk perasaan berbasikal keluar ke jalanan bagi membantah sistem kapitalis di negara itu.

Menjelang malam suasana bertukar menjadi tegang apabila mereka membakar penghalang jalan dan bertempur dengan polis yang bertugas bagi menguatkuasakan SOP Covid-19.

Di Jakarta, Indonesia agenda yang sama disaksikan dengan replika batu nisan diletakkan di jalan raya sebagai simbolik jumlah mangsa kematian pandemik Covid-19.

Di negara komunis Cuba pula sambutan Hari Pekerja tidak seberapa meriah dengan hanya perhimpunan pekerja diadakan bagi mengenangkan revolusi komunis yang meletakkan Fidel Castro sebagai presiden pada 1959.

Ini merupakan tahun kedua Cuba membatalkan perarakan Hari Pekerja di Dataran Plaza de la Revolucion di Havana.

Segelintir pemimpin nasional dilihat berhimpun di beberapa kawasan yang lengang, sementara orang ramai meneriakkan bantahan supaya mereka meraikan hari pekerja di rumah sahaja.

Di Brussels, Belgium polis terpaksa menggunakan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan hingga menyebabkan seorang peserta cedera.

Di UK, cadangan undang-undang yang akan memberikan lebih kuasa kepada polis bagi menangani tunjuk perasaan dijadikan agenda beberapa perhimpunan di negara itu.

Beratus penunjuk perasaan berhimpun di London bagi memprotes kuasa polis, peningkatan kadar jenayah, rang undang-undang mahkamah dan hukuman yang dikatakan bertujuan untuk mengekang kebebasan bersuara.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here