Oleh Fetty Rara

SEMUA slot untuk vaksinasi Astra Zeneca habis diisi dalam masa tiga setengah jam selepas ia dibuka pada tengah hari Ahad.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mengumumkan perkara itu pada kira-kira pukul 3.20 petang.

Beliau turut meminta maaf kerana berlaku gangguan pada peringkat awal proses pendaftaran disebabkan jumlah pendaftaran serentak yang begitu banyak.

Pada minit-minit pertama orang ramai yang cuba mendaftar langsung tidak dapat melihat paparan tarikh temu janji dan pusat vaksinasi.

Bagaimana pun, proses tersebut bertukar menjadi lancar pada pukul 12.30 tengah hari.

Menurut Khairy Malaysia dijangka mendapat lagi sejuta dos vaksin Astra Zeneca bulan ini melalui Covid-19 Vaccines Global Access Facility (Covax) bagi memperluaskan peluang kepada penduduk di negeri-negeri lain, kecuali Sarawak yang menolaknya.

Vaksin Astra Zeneca tidak akan digunakan sebagai vaksin utama dalam Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19, tetapi akan diagihkan melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Selangor dan Kuala Lumpur.

Kebimbangan berhubung vaksin Astra Zeneca timbul setelah berlaku beberapa kejadian darah beku dalam kalangan penerima di negara lain.

Khairy memberi jaminan bahawa vaksin AstraZeneca telah terbukti selamat dan berkesan.

Beliau berkata bilangan kejadian darah beku amat jarang berlaku, dengan hanya empat kes dalam sejuta penerima secara global.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here