PETALING JAYA – Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) parti itu tidak lagi masuk bertanding sebagai parti pembangkang.

Beliau berkata sebaliknya, DAP bertanding sebagai parti yang mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan.

“PRU15 akan menyaksikan persaingan antara tiga kerajaa, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

“Kali ini, DAP tidak lagi masuk bertanding sebagai parti pembangkang. Kita adalah “kerajaan menanti” atau the government-in-waiting.

“Kita memang mampu untuk menang dan mentadbir kerana kita telah pun bersiap-sedia dengan idea, perancangan dan pelan pelaksanaan untuk menjalankan pentadbiran kita nanti,” katanya dalam ucapannya di Konvensyen Biasa DAP Johor 2021.

Dalam pada itu, Liew berkata DAP kini adalah sebuah parti arus perdana dan bukan lagi sebuah parti pembangkang kecil yang hanya tahu membangkang sahaja.

Katanya, sekiranya DAP Johor berjaya melaksanakan transformasi “sebuah kedai runcit yang sudah menjadi pasar raya besar”, ia akan membantu pelaksanaan transformasi di seluruh negara.

“Kita mesti mempersiapkan diri untuk menghadapi PRU akan datang bagi mengembalikan mandat rakyat.

“PH dan rakan-rakan kita dalam pembangkang yang sehaluan perlu bekerjasama untuk mencapai matlamat ini,” katanya.

Liew berkata DAP tidak boleh lagi bertindak sendirian dalam perjuangan PRU nanti.

Katanya, DAP perlu bekerjasama dan bersolidariti dengan rakan-rakan kita dalam Pakatan Harapan dan parti-parti pembangkang yang sehaluan.

“Idea “Big Tent” atau “khemah besar” yang dilontarkan oleh Lim Guan Eng adalah sangat relevan dalam konteks politik Johor.

“Matlamat PRU15 adalah untuk meluaskan gerakan kita di luar sempadan lama serta berusaha menubuhkan kerajaan negeri Johor dan kerajaan Persekutuan,” katanya.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/02/kita-adalah-kerajaan-menanti-kata-dap/

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here