FOTO: Facebook Dr Noor Hisham.

 

Oleh Zainal AS Rashid

LEBIH separuh jumlah pesakit di unit rawatan rapi (ICU) mengalami kepayahan bernafas dan memerlukan alat ventilator, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau sejumlah 345 kes memerlukan rawatan di ICU dan 175 memerlukan bantuan ventilator.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan semalam apabila sebanyak 3,418 jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan, justeru menjadikan jumlah kes aktif di negara ini sebanyak 30,339.

Daripada jumlah kes baharu itu sebanyak 3,134 membabitkan rakyat Malaysia, sementara 274 warga asing.

Di Selangor, 908 didapati berpunca daripada kluster dan saringan kontak rapat dilakukan di lapangan.

Sarawak mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi dengan 587 kes, diikuti oleh Kelantan dengan 400.

Dr Noor Hisham berkata 10 kes import turut dicatat membabitkan seorang rakyat tempatan dan sembilan warga asing.

Sejumlah 12 kematian membabitkan warga tempatan juga direkodkan, justeru menjadikan jumlah kematian keseluruhan 1,533.

Beliau berkata jumlah kumulatif kes yang direkodkan ialah sebanyak 415,012 dengan 383,140 pesakit sembuh setakat ini.

Semalam seramai 2,698 pesakit sembuh, menjadikan jumlah kumulatif kesembuhan sebanyak 92.3 peratus.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 11 kluster baharu dikesan untuk menjadikan jumlah kluster aktif sebanyak 396.

Daripada jumlah itu lima daripada komuniti, empat daripada sektor pendidikan dan dua dari tempat bekerja.

Beliau berkata 85 kluster menunjukkan peningkatan jumlah kes baharu, dengan kluster Saujana mencatatkan 153 kes, diikuti oleh kluster Sungai Daun sebanyak 102 dan kluster Sungai Ranan 33.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here