BERZAKAT dan bersedekah berbeza — Penjelasan Pengerusi PPZ-MAIWP Syed Ali Alhabshee berhubung salah faham bantuan Baitulmal

SEJAK akhir-akhir ini terutamanya di sepanjang Ramadan ini, seperti ada sedikit salah faham dan kekeliruan berhubung bantuan zakat yang dilaksanakan oleh pusat pungutan zakat (PPZ) di beberapa negeri.

Ada tohmahan dan tanggapan yang tidak tepat seolah-olah sengaja dilemparkan oleh sesetengah pihak secara melulu tanpa fakta yang sahih yang secara tidak langsung boleh mencemarkan institusi pusat pungutan zakat di negara ini.

Dalam hal ini, saya selaku Pengerusi PPZ Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan ( PPZ-MAIWP), terpanggil untuk menjelaskan beberapa perkara yang menjadi asas kekeliruan kepada sesetengah pihak yang tidak memahami fungsi berzakat.

Saya ingin mengambil dalam konteks peranan PPZ-MAIWP dalam menyantuni pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh pemastautin atau golongan asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Perlu dinyatakan bahawa peranan PPZ di Wilayah Persekutuan tidak sama seperti mana di negeri-negeri lain. Ada sesetengah negeri, difahamkan PPZ bertanggungjawab secara langsung menyalurkan bantuan TETAPI di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuk Putrajaya dan Labuan, bantuan diagihkan menerusi Baitulmal.

PPZ-MAIWP pada dasarnya diberi tanggungjawab dan amanah untuk mengutip wang bayaran zakat daripada pelbagai pihak seperti syarikat korporat, badan perniagaan, agensi kerajaan dan individu berkelayakan yang berpangkalan atau menetap di Kuala Lumpur.

Wang kutipan zakat yang dilakukan oleh PPZ-MAIWP itu kemudiannya akan diserah sepenuhnya kepada Baitulmal MAIWP.

Perlu diingatkan bahawa wang zakat tersebut adalah amanah pembayar zakat untuk bantuan kepada asnaf dan sehubungan itu Baitulmal perlu memastikan amanah ini dipikul dengan bertanggungjawab bagi memastikan kepercayaan pembayar zakat terhadap amanah yang telah diberikan.

Di sinilah ( Baitulmal) segala bentuk bantuan kepada golongan asnaf akan diagih-agihkan mengikut jenis bantuan yang diperlukan, seperti bantuan bulanan yang setakat ini mencecah 26,239 penerima zakat Baitulmal (golongan asnaf).

Baitulmal MAIWP juga turut menyediakan pelbagai bentuk kewangan seperti untuk persekolahan, perumahan, kesihatan dan perniagaan.

Perlu saya jelaskan bahawa sebarang bentuk bantuan yang disalurkan oleh PPZ menerusi Baitulmal MAIWP adalah berdasarkan kelayakan pemohon setelah melalui beberapa prosedur biasa.

Pada pemahaman saya, bantuan yang disalurkan oleh PPZ menerusi Baitulmal tidak menyukarkan pemohon dan juga tiada langsung kaitan dengan politik. Malah warga Kuala Lumpur amat menghargai sumbangan yang dilakukan MAIWP selama ini.

Walaupun kemungkinan ada pemohon yang gagal dalam permohonan mereka untuk mendapatkan bantuan Baitulmal MAIWP, saya anggap ianya kes terpencil dan masih boleh diselesaikan dengan cara bersemuka dan tidak sewajarnya dihebahkan menerusi laman-laman sosial.

Saya juga berharap badan-badan Ngo perlu lebih bertanggung jawab dan melakukan siasatan yang lebih telus dan berfakta bagi mengelak apa yang dilaporkan itu tidak menimbulkan salah faham.

Saya juga ingin menjelaskan bahawa PPZ-MAIWP hanya bertanggungjawab terhadap sistem dan kaedah pungutan zakat di Wilayah Persekutuan.

Saya juga ingin memberitahu bahawa zakat dan sedekah adalah dua perkara berbeza pada pandangan hukum syarak yang mana sejak kebelakangan ini ramai yang keliru sehingga mendorong mereka mempertikai dan mengecam PPZ.

PPZ-MAIWP sentiasa bersikap terbuka malah berusaha memberi penjelasan berhubung tatacara dan kaedah pembayaran zakat demi meningkatkan kualiti hidup umat Islam melalui zakat seperti mana diperintahkan oleh Allah S.W.T.

DATUK SERI SYED ALI ALHABSHEE
Pengerusi PPZ-MAIWP

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here