Majlis tahnik anak Siti Nurhaliza yang mendapat perhatian ramai kerana ada yang mendakwa tak ikut SOP.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

APABILA Datuk Seri Siti Nurhaliza memuat naik foto majlis tahnik anak keduanya, Muhammad Afwa, ramai yang mempertikai kenapa golongan artis boleh mengadakan acara.

Melihat kepada foto yang dimuat naik menerusi Instagram Siti Nurhaliza, netizen juga mendakwa majlis itu tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Bagi menjelaskan tentang isu yang tular itu, Siti hari ini (3 Mei) tampil membuat kenyataan agar perkara tersebut tidak berpanjangan.

“Berhubung isu yang sedang tular ketika ini, kami sebagai tuan rumah, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan Datuk Seri Siti Nurhaliza ingin memberi pencerahan mengenai majlis tahnik anak lelaki kami, Muhammad Afwa yang kami anjurkan pada 26 April lalu yang didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk berlakunya aktiviti rentas negeri.

“Dakwaan ini ditimbulkan apabila kami mengundang seorang pendakwah bebas dari negeri lain sebagai tetamu. Di sini kami ingin memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku. Sebaliknya individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Siti harap dengan penjelasan daripadanya, isu tersebut tidak akan berpanjangan.

Jelasnya, memandangkan acara itu dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), atur cara majlis dan bilangan tetamu yang hadir mematuhi syarat penganjuran majlis sosial Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti seperti yang tertakluk pada tempoh itu.

“Majlis juga terbahagi kepada tiga sesi dengan bilangan tetamu terhad, dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid untuk mengambil keberkatan fadilat sunat mengadakan tahnik dan memberi nama kepada anak pada hari ketujuh mengikut sunnah Rasulullah.

“Mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka. Sebaliknya beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sahaja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.

“Sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka dengan situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini dan selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin.

“Penjelasan ini bukanlah untuk mempertahankan diri tetapi bertujuan memberikan pencerahan terhadap beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pihak tertentu,” ujarnya.

Malah dalam kenyataan itu juga pasangan suami isteri itu memohon maaf jika apa yang berlaku ini menerbitkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak.

Jelas Siti, beliau dan suami memahami, berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan. Mereka juga bersedia untuk memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

Katanya, ini merupakan kenyataan terakhir daripada pihaknya mengenai isu tersebut dan berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dan difahami dengan baik.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here