Oleh AMREE AHMAD

BERSEJARAH… Malaysia dan Singapura bakal membenarkan rakyat masing-masing melakukan pergerakan rentas dua negara berjiran itu atas sebab kematian atau sakit kritikal.

Usaha itu antara persetujuan dicapai Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan rakan sejawatannya, Dr. Vivian Balakrishnan pada pertemuan di Singapura semalam.

“Perjanjian ini menawarkan rangka kerja bagi permudah cara perjalanan antara dua negara atas alasan kecemasan melibatkan ahli keluarga,” kata kenyataan bersama dua menteri itu.

Inisiatif tersebut dijangka dapat dilancarkan bermula pada 17 Mei depan melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Pihak Berkuasa Pemeriksaan dan Imigresen Singapura (ICA).

Maklumat terperinci dan butiran lanjut mengenai prosedur kemasukan lawatan kecemasan itu jelas kenyataan tersebut akan dikeluarkan dua agensi terbabit dalam masa yang terdekat.

Hishammuddin dan Vivian turut bersetuju untuk meneruskan program vaksinasi nasional masing-masing yang meliputi warga Malaysia menetap di Singapura dan juga sebaliknya.

Mereka turut sepakat mengenai pensijilan kesihatan diwartakan dua negara hasil pemeteraian antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan pihak agensi republik tersebut.

“Dua menteri ini turut bersetuju meneruskan perbincangan untuk langkah pembukaan semula sempadan berdasarkan situasi semasa wabak Covid-19 di dua negara,” kata kenyataan itu.

Mereka bagaimanapun menzahirkan perasaan berpuas hati dengan hubungan dua hala dan kerjasama dijalin setakat ini berlangsung tanpa masalah di sebalik berdepan pandemik serius.

Ini ujar kenyataan itu, dapat disaksikan daripada pergerakan barangan antara dua negara dan mereka turut bersetuju melanjutkan isu perjalanan rentas sempadan dalam suasana selamat.

Kedua-dua menteri ini juga bersepakat untuk mengadakan sesi Pemukiman Pemimpin Utama Malaysia dan Singapura kali ke-10 sejurus senario penularan Covid-19 yang bertambah baik.

Menyentuh Mesyuarat Pemimpin ASEAN di Jakarta, Indonesia pada 24 April lalu, kenyataan itu berkata, dua menteri berkenaan turut membincangkan penyelesaian krisis politik Myanmar.

“Mereka bersetuju peranan ASEAN ketika ini amat perlu dalam mencapai keamanan demi kepentingan rakyat sejajar Konsensus Lima Perkara hasil mesyuarat tersebut,” jelasnya. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here