Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM- Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersedia menghantar lebih 16,000 pelajarnya di seluruh kampus pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

Menurut Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, persiapan rapi telah dilakukan bagi melancarkan perjalanan mereka dalam Ops Pulang Aidilfitri yang dilancarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) minggu lalu.

“Bagi memenuhi keperluan ini, UiTM telah menyediakan lebih daripada 200 unit kenderaan pelbagai jenis terdiri daripada bas, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta untuk melancarkan penghantaran pelajarnya di seluruh negara.

“Ia melibatkan keseluruhan 30 buah kampus dan lebih 700 kakitangan,” katanya hari ini.

Minggu lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) pulang ke kampung halaman masing-masing, kecuali pelajar yang tinggal di Sarawak.

Sehubungan itu, KPT telah menetapkan beberapa mekanisme kawalan pergerakan pelajar yang dilaksanakan secara berfasa.

Dalam pada itu, UiTM berkata, agihan bilangan kenderaan yang diperlukan di setiap kampus mengikut zon akan ditentukan dalam masa terdekat setelah kesemua pelajar melengkapkan borang soal selidik yang telah diedarkan.

“Penghantaran pulang pelajar akan bermula pada 7 Mei ini sehingga 12 Mei dan UiTM akan mengerakkan semua kakitangan pengurusan daripada pelbagai jabatan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar serta Jawatankuasa Perwakilan Kolej bagi memastikan operasi berjalan lancar.

“Bagi pelajar yang memilih untuk terus tinggal di kampus, pihak universiti akan terus menyantuni mereka sebaik mungkin agar suasana Aidilfitri akan turut diraikan bersama-sama,” katanya.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here