Oleh Fetty Rara

HOSPITAL di Delhi terus merayu untuk mendapatkan bekalan oksigen kecemasan sepanjang malam Ahad dengan amaran bahawa ramai pesakit akan mati jika tidak dilakukan segera.

Krisis bekalan oksigen bermula sejak dua minggu lalu dan masih tidak nampak reda, lapor bbc.com.

Sekurang-kurangnya 12 pesakit, termasuk seorang doktor telah meninggal dunia apabila sebuah hospital terkemuka kehabisan bekalan oksigen pada Sabtu, sementara di luar pula anggota keluarga pesakit menunggu hingga 12 jam bagi mendapatkan katil dan silinder oksigen mudah alih.

Beberapa hospital di Delhi bergantung pada bekalan oksigen, tetapi masing-masing tidak mendapat bekalan mencukupi bagi simpanan untuk kes-kes kecemasan.

Menurut seorang doktor keadaan amat menakutkan kerana apabila tangki utama kehabisan bekalan, maka terputus langsung bahan penting untuk merawat pesakit.

Di hospital-hospital kecil keadaan lagi teruk kerana ketiadaan tangki simpanan dan terpaksa bergantung pada silinder besar.

Krisis bekalan oksigen timbul apabila jumlah kes Covid-19 terus melonjak.

Di Delhi sahaja lebih 20,000 jangkitan baharu dicatatkan dengan 407 kematian pada Ahad.

India merekodkan jumlah kematian tertinggi dalam sehari hujung minggu lalu sejak pandemik tercetus untuk menjadi negara pertama mencatatkan lebih daripada 400,000 kes baharu dalam sehari.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here