KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh melakukan siasatan ke atas ahli politik yang lompat parti kerana ia tidak menyalahi undang-undang negara ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, ini kerana tiada undang-undang yang melarang ahli politik lompat parti selain tiada undang-undang khusus berkaitan anti-lompat parti.

Jelas beliau, SPRM sebelum ini telah menyiasatkan kes yang meraih sokongan dan melibatkan pembayaran wang.

“Siapa-siapa yang hendak lompat parti, boleh lompat itu hak kebebasan masing-masing. Tidak ada lagi undang-undang yang melarang mana-mana pihak pergi ke parti lain.

“Anti-hopping law ini tidak wujud lagi, Jadi sebab itu saya tidak ada hendak komen sangat kerana ini bukan satu kesalahan.

“Terdapat mereka juga yang keluar parti jadi ahli bebas dan bukan satu kesalahan di bawah undang-undang negara kita.

“Setakat itu saya boleh komen, kalau mereka yang kita siasat kebanyakannya contohnya meraih sokongan dan bayar wang.

“Dan kita siasat bawah Akta SPR (Suruhanjaya Pilih Raya). Kes Natrah (Ahli Parlimen Sekijang) kita sudah siasat dan tiada pembayaran dikatakan RM10 juta yang disebut banyak pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Kerjasama Strategik Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara (JKKN) & SPRM di Auditorium JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas saranan bekas Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador yang menggesa SPRM menyiasat dakwaan unsur rasuah berkaitan ahli politik lompat parti bagi mendapatkan habuan.

Abdul Hamid berkata, pihaknya memerangi rasuah dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun dalam politik rasuah berlaku di mana-mana.

“Saya lawan rasuah dalam pasukan, tapi saya tengok rasuah merata-rata dalam politik. (Pemimpin) mabuk kuasa dan membeli orang lain dan mengugut (yang enggan dibeli). Itu adalah rasuah,” katanya pada sidang akhbar terakhirnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat lalu.

Baca lagi: https://malaysiagazette.com/2021/05/04/boleh-lompat-parti-kerana-tak-menyalahi-undang-undang-sprm/

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here