Photo by cottonbro from Pexels
Oleh Sarfarizmal Md Saad

ADA segelintir daripada pemimpin negara kita yang tersalah ‘membaca’ mood rakyat di negara ini terutama dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Tidak kurang juga terdapat pemimpin negara cuba meletakkan salah dan punca kemarahan orang ramai terhadap ketidakpatuhan SOP ini berpunca dari sikap rakyat sendiri.

Benar, kita tidak menafikan yang melanggar SOP seperti dilaporkan setiap hari oleh Menteri Kanan Pertahanan, turut dilakukan oleh rakyat kebanyakan.

Apa yang menjadi punca kemarahan ramai adalah penguatkuasaan sesifat berat sebelah seolah-olah wujud satu sistem kasta di negara ini dalam pematuhan SOP Covid-19.

Rakyat diminta supaya mematuhi SOP yang ketat manakala sesetengah pemimpin pula boleh pula melaga buku lima, melaga-laga lengan dan juga duduk berdekatan. Mereka terus gagal untuk menjadi teladan yang baik untuk rakyat.

Bagaimana mungkin ‘ketam mampu mengajar anaknya berjalan lurus apabila diri sendiri gagal berbuat demikian’. Tentunya kalau pemimpin kencing berdiri, rakyat pun bakal kencing berlari. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku. Begitu halnya dalam pengenaan denda terhadap mereka yang melanggar SOP.

Pihak berkuasa yang terlibat dalam penguatkuasaan juga harus mempunyai budi bicara berdasarkan kes dan bukannya denda dahulu baru bincang. Keadilan harus ditegakkan supaya rakyat puas hati dan sama-sama menyokong usaha kerajaan perangi Covid-19.

Hati siapa yang tidak panas. Bagaimana mungkin orang ‘kayangan’ boleh ke sana sini dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah pada pandangan rakyat sedangkan golongan marhaen disekat untuk berbuat demikian meskipun mempunyai alasan yang kukuh.

Pelbagai cerita yang menyesakkan hati didengari ketika rakyat sendiri bergelut dengan pelbagai kepayahan untuk meneruskan kehidupan.

Pemimpin kerajaan perlu benar-benar menunjukkan teladan yang baik bukan hanya kerana dirinya ‘orang besar atau VIP’ maka SOP yang patut dipatuhi boleh diremehkan. Mana-mana pihak yang bersalah termasuk selebriti patut diambil tindakan.

Janganlah sampai nanti, segala SOP tidak lagi diambil peduli oleh rakyat hanya disebabkan kemarahan mereka terhadap sikap golongan atasan. Bukankah memang sikap orang kita, kerana marahkan nyamuk seekor, mereka sanggup membakar kelambu. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here