KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memantau kegiatan kartel tender perolehan  dalam jabatan kerajaan yang lain.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, selain memantau, pihaknya juga menjalankan siasatan berdasarkan maklumat yang diterima.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MoF) untuk melakukan penelitian terhadap proses perolehan Kerajaan.

Azam berkata demikian selepas menghadiri Majlis Program Kerjasama Strategik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan SPRM Tahun 2021 hari ini (Selasa, 4 April).

Pada 5 April lalu, SPRM menemui sejumlah RM3.5 juta wang tunai di rumah ketua sindiket kartel tender kerajaan dalam serbuan yang dilakukan.

Menurut SPRM, sindiket itu difahamkan telah beroperasi sejak tujuh tahun lalu dan kemewahan yang ditunjukkan oleh ketua sindiket yang bergelar Datuk itu amat luar biasa.

Kumpulan kartel itu menjalankan operasi mereka dengan membuka lebih 150 buah syarikat dengan setiap individu yang digunakan nama sebagai pengarah syarikat dibayar gaji antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.

Kesemua syarikat berkenaan akan digunakan secara bergilir-gilir untuk memasuki tender dan sebut harga di kementerian dan agensi kerajaan. Kesemua syarikat itu juga menggunakan maklumat palsu berkaitan keupayaannya melaksanakan projek. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here