GAMBAR: Grab.

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

PADA 1994 semasa pengasas Microsoft Bill Gates berkata bahawa ‘perbankan amat perlu, tetapi bank tidak’, para penggerak dunia perbankan dan penganalisis tidak berlengah untuk peleceh beliau dengan mengatakan bahawa itu hanya mimpi seorang pakar teknologi yang terlalu imaginatif.

Kini setelah beberapa dekad berlalu, wawasan beliau semakin cepat menjadi realiti.

Grab merupakan di antara super-app paling dominan di Asia yang menawarkan kemudahan pengangkutan, penghantaran makanan dan terbaharu, perkhidmatan kewangan merangkumi pinjaman, insurans, pembayaran dan pelaburan – semuanya melalui telefon pintar.

Dilancarkan pada 2012 sebagai aplikasi teksi seperti Uber, Grab kini telah berkembang dengan begitu meluas hingga pada 2018 mampu menghentikan operasi Uber di Asia Tenggara.

Matlamat Grab ialah mentransformasikan platform tersebut menjadi sebuah bank maya untuk Asia Tenggara yang mempunyai lebih 600 juta penduduk.

Bagaimana pun, saingan yang semakin meningkat dan kerajaan yang menyekat pengaruh super app ke atas orang ramai mungkin menghalang hasrat itu.

Grab memulakan riwayatnya di Malaysia pada 2012 sebagai sebuah perkhidmatan tempahan teksi dalam talian yang mulanya dipanggil MyTeksi.

Pengasas bersama Anthony Tan mendapat idea tersebut semasa belajar di Harvard Business School Amerika Syarikat.

Pada dasarnya idea tersebut bertujuan untuk menjadikan perjalanan menggunakan teksi lebih selamat dan mudah bagi penduduk Malaysia.

Tidak lama kemudian muncul Kee Lock Chua, seorang rakan niaga urusan di Vertex Ventures Southeast Asia dan India untuk menjadi pelabur institusi pertama Grab.

Seorang lagi pelabur ialah ibu Anthony sendiri.

Firma Chua melabur sebanyak RM55 juta di dalam Grab, justeru membolehkan Vertex Ventures Southeast Asia dan India memegang 22 peratus saham.

Tujuh tahun kemudian beliau menarik diri, tetapi pada waktu itu beliau telah pun meraih pulangan lebih daripada 10 kali ganda jumlah yang dilaburkan.

Setelah Grab menjadi begitu popular pihak pengasasnya melihat isu utama yang menyekat kebajikan para pekerjanya, iaitu ramai daripada mereka tidak mempunyai akaun bank.

Keadaan itu menggerakkan Pengarah Grab Financial Group Reuben Lai untuk membantu mereka membuka akaun bank supaya mudah menerima bayaran, selain membantu mendapatkan pinjaman untuk membeli kereta.

Bagaimana pun, selepas beberapa tahun mereka mula bertanya ‘mengapa kita buat semua ini?’

Di situ mereka baharu sedar bahawa sebenarnya enam daripada setiap 10 orang di serata Asia Tenggara tidak dapat menikmati kemudahan perbankan.

Mungkin ia disebabkan kekurangan data atau mungkin kerana faktor kos untuk menawarkan perkhidmatan bank kepada mereka.

Oleh yang demikian, pengasas Grab berhasrat untuk membolehkan institusi kewangan membantu golongan yang terpinggir ini.

Risiko yang perlu di atasi oleh Grab semakin bertambah.

Syarikat tersebut telah mendapat lesen bank digital di Singapura dan berhasrat untuk melancarkannya pada 2022, tetapi para penganalisis berkata peraturan dan kawalan pihak berkuasa merupakan kunci untuk berganjak lebih jauh.

Robson Lee dari firma Gibson Dunn berkata kaedah bank digital di Asia Tenggara akan berdepan dengan kesukaran kerana pihak kawal selia tentu akan cuba sedaya upaya untuk melindungi lapangan masing-masing.

Walau apa pun rintangan yang bakal menjelma, namun Grab yakin akan terus berganjak sebagai perintis dalam lapangan baharu itu kerana sejarah penubuhannya telah mengajar pihak pengasas tentang tekad dan keazaman untuk terus maju.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here