Oleh Zainal AS Rashid

INDIA kini mencatatkan lebih daripada 20 juta jangkitan Covid-19, tetapi kerajaan negara itu berkata jumlah kes ‘semakin berkurangan’.

Semalam (3 Mei) sebanyak 355,000 kes direkodkan, turun daripada 400,000 kes harian pada 30 April, lapor bbc.com.

Seiring itu jumlah ujian juga menurun, justeru mencetuskan kebimbangan kalau-kalau beban kes di India sebenarnya jauh lebih tinggi.

Jumlah kes di Maharashtra yang merupakan negeri paling teruk dilanda gelombang kedua pandemik turut menurun secara konsisten.

Sementara itu, kekurangan bekalan oksigen pula tidak menampakkan tanda-tanda positif dan orang ramai di kawasan titik panas, termasuk di bandar raya Delhi terus bergelut untuk mendapatkan rawatan segera.

Gelombang kedua Covid-19 di India yang dirumitkan lagi dengan kelemahan protokol kesihatan, perayaan awam besar-besaran dan perhimpunan kempen pilihan raya merupakan punca utama semua hospital di negara itu hampir lumpuh.

Kelewatan menjalankan ujian, diagnosis dan rawatan, termasuk kekurangan katil penjagaan kritikal dan ubat penting telah juga menyebabkan lonjakan kadar kematian.

Sehingga hari ini negara itu telah melaporkan lebih daripada 222,000 kematian disebabkan virus Covid-19, tetapi para pakar berkata angka kematian sebenarnya tidak selari dengan apa yang berlaku di depan mata dari sehari ke sehari, di mana orang ramai beratur panjang untuk menunggu giliran membakar mayat mangsa, selain pembakaran terbuka secara beramai-ramai dan krisis kekurangan ruang untuk menjalankan kerja-kerja pengebumian.

Walaupun belum tentu keberkesanannya, namun banyak negeri di India telah mula menguatkuasakan pelbagai sekatan, daripada ‘lockdown’ penuh hingga kepada perintah berkurung pada waktu malam.

Wilayah Bihar di bahagian utara India yang sejak beberapa hari ini menambah kira-kira 13,000 kes setiap hari adalah antara negeri paling baharu mengumumkan ‘lockdown’ penuh, kecuali perkhidmatan kerajaan, kedai barang penting dan hospital dibenarkan beroperasi.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here