Norizam (dua dari kiri) dan Ari Nugroho mempamerkan jersi pasukan PSPS Riau selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara kedua pihak.
Oleh Arrazaq Nazri

KUALA LUMPUR-Pemilik Pasukan The Red Warrior atau Kelantan FC, Norizam Tukiman kini mengorak langkah lebih jauh dalam arena bola sepak apabila membeli kelab PSPS Riau yang bermain dalam Liga 2 Indonesia.

Norizam berkata, pengambilalihan Kelab PSPS Riau turut didorong dengan sokongan kuat peminat bola sepak kelab tersebut selain menganggap langkah ke seberang bakal membuka lembaran baharu buat kedua-dua kelab yang dimilikinya.

“Saya adalah peminat bola sepak dan pelabur, saya melihat masa depan dan bukan mahukan keuntungan sekarang.

“Ya, saya sayang penyokong PSPS Riau sebagaimana saya sayang penyokong TRW Kelantan FC yang mahukan pasukan bola sepak mereka naik. Ibarat maruah jugalah,” katanya di dalam entri akaun Facebooknya.

Majlis menandatangani memorandum perjanjian antara Norizam dan Presiden PSPS Ari Nugroho Arsadian berlangsung di Riau, Indonesia dan disaksikan Ketua Perkhidmatan Belia dan Sukan Riau, Boby Rachmat serta Konsulat Malaysia Pekanbaru, Wan Nurshima Wan Jusoh.

Norizam yang terkenal dengan nama Zamsaham berkata, PSPS Riau mempunyai nama julukan, Askar Bertuah.

” Tetapi lebih menarik mereka bakal memakai gelaran sama seperti Kelantan iaitu TRW (The Red Warriors) tetapi dengan nama The Riau Warriors.

“Sekarang Kelantan FC boleh terus bekerjasama dengan pasukan PSPS Riau kerana pemiliknya sama. Terima kasih semua yang membantu dan mendoakan supaya perjalanan saya dalam industri bola sepak berjaya,” katanya.

Untuk rekod, PSPS Riau yang ditubuhkan pada 1955, menamatkan kempen Liga 2 Indonesia 2019 di tangga kesembilan malah pernah menggunakan khidmat jurulatih dari Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah tahun lepas.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here