Ibrahim (tengah) berucap selepas bertemu pihak SPRM di Putrajaya hari ini.
Oleh Arrazzaq Nazri

PUTRAJAYA –Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil segera bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador susulan pendedahannya mengenai ahli politik yang terbabit dengan rasuah.

Presiden PUTRA, Datuk Ibrahim berkata, pendedahan dibuat oleh Abdul Hamid adalah perkara yang serius dan perlu diambil perhatian sewajarnya oleh SPRM.

“SPRM perlu menyiasat segera dakwaan itu malah, Abdul Hamid juga dikehendaki mendedahkan satu persatu nama ahli politik yang dimaksudkan itu.

“Isu (pendedahan) ini betul-betul serius kerana selama ini ia (dakwaan ahli politik terbabit rasuah) didedahkan orang-orang biasa namun, kali ini ia dibongkarkan sendiri oleh Ketua Polis Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan aduan kepada SPRM di sini hari ini.

Dokumen aduan tersebut diserahkan sendiri Ibrahim kepada Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Noor Azlan Razali.

Katanya, SPRM menyambut baik aduan yang beliau kemukakan itu dan memberi jaminan untuk menyiasat perkara itu.

Katanya lagi, beliau juga mahu SPRM menyiasat dakwaan kononnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mencampuri urusan pelantikan pegawai-pegawai tinggi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Urusan pelantikan tersebut adalah di bawah kuasa dan tanggungjawab Ketua Polis Negara walaupun Menteri Dalam Negeri adalah Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Dari struktur organisasi, Abdul Hamid adalah Ketua Pegawai Eksekutif kepada agensi kepolisan yang mengurus PDRM dan operasinya malah, lebih mengetahui secara mendalam siapa yang patut dilantik atau tidak dilantik,” katanya.

Beliau menambah, siasatan terhadap pendedahan yang dibuat oleh Abdul Hamid kelak akan membantu pelaksanaan undang-undang dan peraturan-peraturan yang wajib diikuti oleh semua kakitangan kerajaan dan ahli politik yang berjawatan dalam kerajaan.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here