SINGAPURA – Lima daripada 17 kes positif Covid-19 di Singapura semalam turut melibatkan tiga pelawat Wad 9D Hospital Tan Tock Seng (TTSH), seorang pesakit dan seorang ahli farmasi.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Singapura malam tadi, tiga pelawat itu dikesan menerusi pemeriksaan kes yang dijalankan secara proaktif.

Dengan perkembangan ini kluster TTSH telah mengesan 40 kes sejak seorang jururawat yang bertugas di wad berkenaan pertama kali diuji positif pada 27 April. Ini menjadikan ia kluster aktif terbesar yang melibatkan hospital di Singapura.

Pada 28 April, Kementerian Kesihatan (MOH) pertama kali mengumumkan bahawa seorang jururawat berusia 46 tahun yang bekerja di TTSH diuji positif COVID-19. Dia ditempatkan di Ward 9D dan sebelum itu sudah menyelesaikan vaksinasi COVID-19 pada 18 Februari.

Salah satu kes adalah seorang wanita rakyat Singapura berusia 53 tahun yang beberapa kali mengunjungi Wad 9D antara 18 dengan 28 April dan diarah kuarantin diri pada 30 April seterusnya diuji pada 2 Mei dan disahkan positif keesokan harinya.

Wanita itu sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 17 April.

Dua lagi pelawat adalah wanita warga Filipina berusia 45 tahun mengalami selesema, sakit tekak dan demam dan seorang wanita warga Indonesia berusia 39 tahun yang mengalami sakit tekak dan demam.

Ahli farmasi hospital itu pula yang berinteraksi dengan para pesakit dan kakitangan Wad 9D pada 20 April, mengalami selesema ringan pada 30 April yang pulih pada hari yang sama dan diuji positif pada 1 Mei.

Pesakit TTSH yang diuji positif pula dimasukkan ke wad 9D pada 26 April dan dipindahkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada 27 April.

Sementara itu, lima orang dalam kluster TTSH didapati dijangkiti virus varian India B16172 yang melibatkan seorang doktor, jururawat dan tiga pesakit.

Di luar kluster TTSH, dua lagi yang dijangkiti varian India adalah pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi dan seorang pekerja pembersihan di sebuah kemudahan jagaan masyarakat di Tuas South.

Sementara itu, 12 kes import yang dilaporkan semalam adalah melibatkan ketibaan dari India, Maldives, Nepal, Malaysia, Jepun Filipina, Bangladesh.

Semalam 17 lagi pesakit sembuh menjadikan 60,823 orang pulih dari jangkitan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here