masjid puasa ramadhan
Photo by Siti Rahmanah Mat Daud on Unsplash

Oleh Shukriah Che Kasim

RAMADHAN merupakan bulan yang mulia di sisi Allah, bulan yang penuh keberkatan serta keampunan dari-Nya. Pada bulan ini juga, diturunkan al-Qur’an, sebagai petunjuk kepada manusia sepanjang zaman.

Jelasnya Ramadhan bukanlah sekadar rutin tahunan dalam menjalani ibadat puasa dengan menahan lapar dan dahaga, tetapi ia turut berperanan dalam membentuk kekuatan spiritual dan emosi manusia di samping memperkukuhkan ikatan persaudaraan sesama umat Islam.

Terdapat banyak ayat al-Quran yang membincangkan tentang pensyariatan puasa di bulan Ramadhan. Kewajipan puasa ini diturunkan secara bertahap bersesuaian dengan perintah-perintah lain yang terdapat di dalam al-Quran.

Pensyariatan berperingkat inilah yang menjadikan puasa di bulan Ramadhan satu rutin tahunan yang sangat mudah untuk diterima dan seterusnya diamalkan oleh semua hambaNya.

Ayat-ayat berkenaan kewajipan berpuasa di dalam surat al-Baqarah, disusun begitu indah untuk menarik manusia dan memastikan hambaNya tidak merasa terbeban dengan pensyariatan ini.

Perintah ini bermula dari ayat 183 surat al-Baqarah yang mana Allah menceritakan bahawa syariat puasa ini bukanlah suatu benda yang baru, bahkan ianya telah dahulu disyariatkan kepada umat sebelum ini.

Ayat yang dimulakan dengan seruan terhadap orang-orang yang beriman ini seakan memberikan satu dorongan kepada mereka dalam melaksanakan syariat Allah ini. Ianya juga bukanlah merupakan satu beban yang berat tetapi lebih kepada tujuan untuk meningkatkan kualiti ketakwaan hambaNya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 183: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

Penjelasan tentang pensyariatan puasa ini diteruskan di dalam ayat 184 surah yang sama. Ayat ini menunjukkan Allah telah menyatakan dengan penuh ihsan tentang keringanan yang diberikan kepada mereka yang sakit dan bermusafir.

Mereka ini tidak diwajibkan untuk berpuasa bahkan dibenarkan untuk meninggalkan puasa pada hari tersebut dan menggantikannya pada hari lain. Firman Allah SWT: “iaitu beberapa hari tertentu.

Maka barang siapa di antara kamu yang sakit atau bermusafir (lalu tidak berpuasa) maka (wajib mengganti) sebanyak (hari yang ditinggalkan itu) pada hari-hari yang lain.

Dan bagi orang yang berat menjalankannya, wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada orang miskin. Tetapi barang siapa yang rela hati melakukan kebaikan, maka itu adalah lebih baik baginya, dan puasamu itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya”.

Berdasarkan ayat tersebut, mereka yang tidak mampu untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan, mereka dibenarkan pula untuk membayar fidyah dengan memberi makan orang miskin.

Berbagai pilihan telah dinyatakan dengan jelas untuk memastikan bahawa syariat ini sebenarnya bukan beban kepada manusia tetapi hanyalah untuk memberi kebaikan kepada manusia.

Di akhir ayat ini dinyatakan bahawa walaupun diberi berbagai pilihan, tetapi yang terbaik ialah menunaikan ibadat puasa jika hambaNya mengetahui hikmah di sebaliknya.

Usai penerangan tentang ibadat puasa dan keringanan yang diberikan, al-Quran menyambung lagi kelebihan yang ada pada ibadat ini, ibadat yang disyariatkan pada bulan Ramadhan, bulan yang penuh barakah yang telah dipilih untuk menjadi bulan turunnya al-Quran.

Ayat 185 surah al-Baqarah ini seakan pujukan tentang penyataan keistimewaan puasa dan bulan Ramadhan. Firman Allah SWT: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”.

Pada ayat ini, terdapat pengulangan kebenaran untuk berbuka puasa bagi orang-orang yang sakit dan bermusafir, dan ayat ini ditutup dengan penyataan bahawa Allah tidak sesekali akan membebankan hambaNya malah memberikan keringanan serta kegembiraan setelah selesai menunaikan ibadah puasa selama sebulan dengan sempurna.

Jelaslah di sini bahawa pensyariatan puasa bukanlah satu bebanan kepada umat Islam, bahkan ia telah diperintahkan dengan ungkapan yang sangat indah dan sesuai dengan fitrah manusia.

Sewajarnya bulan Ramadhan disambut dengan sebaiknya dengan pelbagai amalan soleh agar kita mencapai objektif ibadah puasa, iaitu mencapai ketakwaan kepada Allah SWT.

Shukriah Kassim

Shukriah Che Kasim merupakan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

 

BebasNews

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here