Foto FB Najib Razak
Oleh Arrazzaq Nazri

KUALA LUMPUR–Datuk Seri Najib Razak dikenakan kompaun RM3,000 atas dua kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilakukan 19 Mac lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, kertas siasatan kes pelanggaran SOP Norma Baharu PKPB oleh bekas Perdana Menteri tersebut di Restoran Nasi Ayam Hainan Chee Meng, Bukit Bintang telah dikembalikan dari Pejabat Peguam Negara hari ini dengan keputusan mengenakan kompaun.

“Beliau dikenakan kompaun RM1,500 bagi setiap kesalahan kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Penyakit Berjangkit) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

“Kesalahan pertama apabila beliau gagal mengimbas suhu badan semasa memasuki premis Nasi Ayam Hainan Chee Meng dan kesalahan kedua pula, gagal mendaftar kehadiran di premis itu melalui aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengurus restoran, Yeok Wei Hao pula dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal mengarahkan Najib membuat imbasan MySejahtera atau menulis nama di dalam buku daftar sebagaimana disyaratkan dalam SOP.

Jelas beliau, kesemua yang terbabit akan dikeluarkan kompaun dalam masa terdekat dengan nilai kompaun keseluruhan RM13,000.

“Kita minta orang ramai supaya patuh kepada SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memerangi Covid-19,” katanya.

19 Mac lalu tular video berdurasi satu minit 39 saat menunjukkan Najib dilihat masuk ke restoran berkenaan dengan tidak melakukan imbasan suhu serta mendaftar MySejahtera tular di media sosial.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here