PHOTO: Wikimedia Commons/Omar Chatriwala of Al Jazeera English / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/2.0)
Oleh Prof Madya Dr. Mohd Muhiden Abd Rahman

AL-QURAN merupakan mukjizat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk disampaikan kepada umatnya.

Ia merupakan panduan dan petunjuk yang lengkap kepada tiap Muslim. Membacanya dan mentadabburnya diganjari pahala oleh Allah SWT.

Kebiasaannya, dalam pengisian bulan Ramadhan, amalan tadarus menjadi pilihan. Pada asasnya tadarus al-Quran bermaksud membaca Al-Qur’an di hadapan seseorang yang dapat menyemak bacaan itu daripada sebarang kesilapan.

Amalan tadarus merupakan salah satu ibadat penting yang diberi tumpuan oleh Rasulullah SAW dalam bulan Ramadhan. Ia berdasarkan amalan tadarus Rasulullah SAW dengan malaikat Jibril sendiri.

Mengikut riwayat Ibn Abbas r.a. yang bermaksud: “Nabi Muhammad SAW merupakan orang yang sangat pemurah dengan kebajikan, dan kemuncak kemurahannya ialah sepanjang bulan Ramadhan. Jibril a.s. menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan sehingga habis bulan itu dan Rasulullah membacakan Al-Qur’an kepadanya.

Sesungguhnya Rasulullah adalah amat pemurah umpama angin yang bertiup kencang”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun begitu, dalam amalan masyarakat Islam, tadarus al-Quran dilakukan secara berkumpulan dan dibaca bergiliran sehingga khatam di bulan Ramadhan. Ketua atau mereka yang mahir akan mengetuai dan membetulkan bacaan al-Quran tiap ahli kumpulan.

Al-Qur’an akan dibaca secara bergilir-gilir dan bacaan disemak agar lafaz makhrajnya tepat dan selamat daripada kesalahan tajwid. Kemuncak kepada amalan ini adalah program khatam al-Quran secara beramai-ramai.

Sayangnya pendekatan ini berterusan dari tahun ke tahun tanpa ada sebarang anjakan paradigma, iaitu peralihan corak pemikiran lama kepada yang baru dan lebih bermanfaat. Satu pendekatan baru yang lebih hampir dengan petunjuk Nabi SAW perlu dilakukan.

Dengan kata lain, program tadarus yang dilakukan bukan sekadar terhenti kepada proses semakan dan pembaikan bacaan (tahsin al-qira’ah) semata-mata tanpa ada usaha untuk peringkat tadabbur dalam memahami makna kalam Allah.

Sedangkan al-Quran diturunkan sebagai petunjuk kepada manusia. Justeru, bagaimanakah petunjuk hendak diperolehi sekiranya kita terus-menerus membacanya tanpa memahami kehendak ayat yang dibaca.

Asasnya, para ulama berbeza pandangan tentang hukum tadarus al-Quran. Menurut Imam Malik, Imam al-Nawawi dan Ibn Taymiyyah, hukum tadarus al-Quran sepertimana yang disebutkan di atas adalah harus. Manakala pendapat yang muktamad di dalam mazhab Hanbali, hukumnya adalah makruh.

Berdasarkan pandangan ulama tersebut, ternyata amalan ini adalah harus. Malah kebanyakan ulama seperti Imam al-Syafi`i sendiri dikatakan mengkhatamkan al-Quran secara bersendirian bukan secara berjemaah. Adapun amalan Rasulullah SAW bertadarus dengan Jibril a.s. juga berbeza.

Ini kerana Rasulullah SAW melakukan tadarus hanya dengan Jibril a.s. tidak dengan para sahabat. Kemudian baginda melakukan tadarus bukan bertujuan untuk khatam, sebaliknya hanya untuk menyemak bacaan al-Quran. Ini kerana baginda merupakan seorang ummi, iaitu tidak boleh membaca dan menulis.

Jadi untuk menyemak bacaaan hanyalah melalui hafalan baginda dan yang paling layak untuk menyemak bacaan baginda ialah Jibril a.s. selaku pengantara wahyu al-Quran. Baginda juga menyemak bacaan dalam keadaan telah memahami maksud tersurat dan tersirat setiap dari ayat-ayat al-Quran.

Pendekatan ini berbeza dengan amalan kebanyakan masyarakat Islam hari ini yang lebih mementingkan kuantiti bacaan bukan kualitinya. Mereka bertadarus atau membaca dan mengkhatam al-Quran tanpa tadabbur, memahami makna dan maksud ayat-ayat yang dibaca.

Proses tadabbur melibatkan aktiviti berfikir dan mengamati ayat-ayat al-Quran untuk memahaminya, serta menanggapi makna-maknanya, hukum-hukumnya, dan maksud yang dikehendakinya. Al-Quran adalah petunjuk yang perlu difahami dengan sebaiknya.

Allah SWT telah berfirman dalam surah Sad, ayat 29: Al-Quran ini adalah sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti (tadabbur) kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar dan firman Allah dalam surah al-Nisa’, ayat 45: Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan (tadabbur) isi AlQuran? kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.
Berdasarkan ayat di atas, adalah suatu kewajipan ke atas setiap individu muslim.

Ini kerana tujuan sebenar al-Quran diturunkan adalah untuk menjadi hidayah dan petunjuk kepada seluruh manusia. Bagaimana mungkin al-Quran boleh menjadi hidayah dan petunjuk tanpa mentadabbur dan memahaminya.

Oleh kerana itu mentadabur dan memahami al-Quran adalah lebih wajar diutamakan berbanding dengan tadarus al-Quran semata-mata.

Justeru, bagaimana seseorang yang tidak memahaminya akan mendapat hidayah dan pertunjuknya. Dia hendaklah menfokuskan seluruh tumpuannya ketika membaca dan menghadirkan hatinya dengan meneliti apa yang dinyatakan di dalam ayat yang dibaca itu.

Allah berfirman dalam surah Muhammad ayat 24: “Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?”.

Walaupun begitu, persoalan yang dibangkitkan ini tidak bermakna amalan tadarus tersebut tidak boleh terus diamalkan, sedangkan ia diharuskan.

Bahkan, bacaan al-Quran secara berkumpulan ini bersesuaian dengan hadis riwayat Muslim yang menggalakkan membuat halaqah al-Quran secara umum tanpa terikat dengan bulan Ramadhan.

Sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah suatu kaum duduk berzikir kepada Allah Taala, melainkan mereka akan dikelilingi oleh para malaikat dan akan dilimpahi rahmat serta akan diturunkan ke atas mereka ketenangan dan Allah akan menyebut (memuji) mereka di hadapan para malaikatNya.”

Jelasnya, sudah sampai masanya, umat Islam melakukan anjakan paradigma dalam amalan tadarus yang dilakukan. Marilah kita berusaha memperbaiki bacaan al-Quran di samping cuba untuk memahami pesan yang dititipkan dalam wahyu melalui proses tadabbur agar al-Quran benar-benar menjadi kitab hidayah yang menyuluh kehidupan bukannya sekadar untuk memenuhi aktiviti pengisian bulan Ramadhan semata-mata.

Dr Muhiden Abd Rahman

Prof Madya Dr. Mohd Muhiden Abd Rahman bertugas di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here