Oleh Muhammad Luqman Hakim

KUALA LUMPUR –Selepas menerima suntikan pertama vaksin Pfizer BioNtech, seorang doktor yang enggan dikenali tidak lagi berhasrat mengambil suntikan kedua kerana bimbang dengan kesan sampingan dialaminya.

Menurut doktor berkenaan, dia terkejut apabila dirinya mendapat mild stroke sehingga terpaksa dirawat di hospital dan sangat bernasib baik kerana kejadian berkenaan berlaku di rumah dan bukannya ketika memandu.

Beliau juga mendapati rakan-rakannya yang juga doktor juga mengalami kesan sampingan seperti ‘Bell Palsy’ iaitu penyakit yang menyebabkan kelemahan atau paralisis sementara pada muka.

Tidak dinafikan bahawa vaksin yang ditawarkan oleh kerajaan merupakan penawar yang belum diuji sepenuhnya, namun penerima suntikan harusnya diberikan penjelasan tentang implikasi atau kesan sampingan dengan sejelas-jelasnya.

Jika seorang doktor sendiri tidak mendapat maklumat yang jelas terhadap sebarang kemungkinan yang bakal dialaminya, bagaimana pula masyarakat awam.

Maklumat yang jelas penting kerana kita biasanya takut dengan sesuatu yang baharu dan apa yang tidak diketahui. Jika keadaan ini berlaku tentunya amat sukar sekali untuk kerajaan mencapai imuniti kelompok dalam memerangi pandemik Covid-19.

Kerajaan perlu merekod keadaan kesihatan semua penerima vaksin seperti mana dilakukan di Singapura. Tindakan menyebar dan memberikan secara berterusan maklumat yang terperinci, dan tepat boleh meningkatkan minat orang ramai mengambil suntikan.

Kajian yang dilakukan pihak berkuasa republik itu mendapati kurang satu peratus daripada 2.2 juta dos vaksin yang diberikan menyebabkan kesan sampingan yang dilakukan daripada akhir bulan Disember hingga pertengahan bulan lalu. Maklumat seperti ini mampu mengurangkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

Pada masa sama, pihak berkuasa Singapura juga menyatakan hanya terdapat 95 kes kemudaratan serius atau hanya 0.004 peratus daripada dos vaksin yang diberikan. Kemudaratan serius ini berupa keadaan yang mengancam nyawa sehingga dimasukkan dalam hospital atau fungsi badannya menjadi sangat lemah.

Pada masa sama, sejumlah 20 kes anafilaksis dilaporkan. Anafilaksis adalah sejenis alahan yang boleh mengancam nyawa yang setara dengan kadar yang dicatatkan oleh negara-negara lain. Dalam kajian itu, seramai 25 penerima vaksin juga didapati mengalami ‘Bell Palsy’ iaitu penyakit yang menyebabkan keherotan atau paralisis sementara pada muka.

Bilangan mereka yang berdepan dengan ‘Bell Palsy’ mungkin tidak ramai tetapi mengetahui lebih awal membolehkan penerima suntikan lebih bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Dengan mengetahui sejelas-jelasnya dan tindakan segera yang perlu diambil sangat penting dalam mendapatkan keyakinan ramai untuk terus menyokong usaha vaksinasi Covid-19 yang sedang dijalankan.

Penyebaran maklumat yang tidak jelas dan terperinci menyebabkan berlaku banyak tanya tanya dan tersebarnya maklumat salah secara berleluasa. Kerajaan pastinya tidak mahu biarpun usaha vaksinasi hanya sekerat jalan apabila ramai yang berdaftar tetapi hanya segelintir sahaja akhirnya mengambil suntikan.

Puchong

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here