Ifa Raziah terima dugaan ini dengan sabar dan yakin ada hikmah di sebaliknya.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MENGIKUT perancangan awal, mulai hari ini (7 Mei) selama tiga hari akan berlangsungnya acara Starvendors Mega Raya Fest 2021 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL).

Malangnya apa yang dirancang oleh pihak pengurusan Star Vendors Sdn. Bhd., tidak dapat diteruskan kerana kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula 7 hingga 20 Mei ini.

Berita tersebut amat mengecewakan peniaga yang sudah bersiap sedia untuk berniaga di situ dengan harapan dapat mengumpul rezeki selepas beberapa lama tidak berniaga.

Selaku penganjur, Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors Sdn. Bhd., Ifa Raziah memberitahu bahawa pihaknya telah cuba mencari jalan penyelesaian sebaik saja pengumuman itu dibuat oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 5 Mei lalu.

“Star Vendors, WTC KL dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah berbincang bagi mencari jalan penyelesaian untuk keputusan pengumuman PKP yang tanpa diduga, yang secara tiba-tiba melanda Kuala Lumpur.

“Setelah berbincang panjang dan mencari penyelesaian dengan pihak WTC KL dan pihak berkuasa, akhirnya pihak kami tidak dapat meneruskan Starvendors Mega Raya Fest 2021. Semua acara lain yang sedang dan akan berlangsung di WTC KL, juga telah dibatalkan,” kata Ifa Raziah dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, pihak pengurusan Star Vendors dengan rela hati akan memulangkan semula semua bayaran yang telah dibuat kepada akaun Starvendors.

Pada 24 April lalu, sewaktu sidang media Starvendors Mega Raya Fest 2021, Ifa Raziah berjanji akan memulangkan semula wang peniaga seandainya program yang diatur tidak dapat dilaksanakan dek pandemik.

Antara promosi yang telah dilakukan untuk menuar-uarkan program Starvendors.

Jelas Ifa Raziah, proses bayaran balik akan dibuat dalam tempoh 60 hari waktu bekerja bermula dari 7 Mei 2021. Untuk segala proses pemulangan (refund), peniaga diminta menghubungi staf Star Vendors yang berurusan dengan mereka sebelum ini.

“Pihak pengurusan Starvendors Event Sdn. Bhd., ingin memohon maaf kepada semua usahawan, selebriti, tenaga kerja, kontraktor, kru dan semua yang telah bekerjasama untuk menjayakan event kami. Tiada kata yang mampu kami ungkapkan.

“Sekali lagi kami memohon maaf, di atas kesulitan yang bukan datang daripada pihak kami. Dalam situasi ini, kita semua hanyalah insan kerdil, yang tidak mampu berkata apa. Kita semua menanggung kerugian dalam situasi ini.

“Kami juga telah mengeluarkan kos yang tinggi untuk promosi dan pengiklanan untuk penganjuran acara ini, yang hanya berbaki satu hari sebelum dilangsungkan. Hanya pada Allah kita berserah. Insya-Allah kita akan berjumpa pada event akan datang,” katanya lagi.

Bagi Ifa Raziah, apa yang berlaku adalah ujian daripada Allah supaya semua yang terlibat menjadi kuat. Katanya, Allah tangguhkan sesuatu supaya semua insan bersabar, Allah hilangkan sesuatu supaya setiap yang terlibat reda kerana di sebalik musibah akan ada hikmah.

Jelas Ifa Raziah, pihaknya amat berterima kasih dengan sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak vendor.

“Seperti yang dimaklumkan, kami akan menunda event kami dan bukan batalkan event. Semua vendor boleh melihat semua persiapan yang telah kami lakukan sehingga hari ini, 90% booth dah pun naik.

“Akan tetapi, kerana kami memikirkan juga faktor yang dirisau oleh semua pihak vendor, kami sedia menampung kerugian. Kami juga cuba meringankan kerugian pihak vendor dan tidak mahu vendor menanggung kerugian yang lebih besar jika event diteruskan.

“Oleh itu, kami ingin mengumumkan tarikh baharu untuk event kami yang telah ditempah di WTC KL iaitu pada 2, 3, 4 Julai 2021. Vendor juga ada pilihan untuk carry forward payment yang telah dibuat atau boleh memilih untuk refund seperti yang dijanjikan.

“Vendor yang ingin membuat process refund boleh memberi maklumat kepada pasukan yang anda berurusan,” jelasnya yang tidak lupa janji itu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here