GAMBAR: Foto ihsan Facebook Noor Hisham Abdullah.

 

LEBIH 500 orang kini ditempatkan dalam unit rawatan rapi (ICU) pelbagai hospital kerana mengalami masalah kesihatan berkaitan Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah kemasukan 506 kes itu merupakan rekod tertinggi yang dicatatkan sejak Covid-19 melanda negara ini.

Daripada jumlah itu katanya 295 kes kini memerlukan bantuan alat pernafasan dan ia juga suatu jumlah paling ramai direkodkan setakat ini.

Angka yang dicatatkan itu katanya membabitkan kes yang sudah disahkan positif, disyaki dan berkemungkinan positif.

Data itu sedikit berbeza daripada maklumat harian terkini yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia yang melaporkan hanya kes yang sudah disahkan positif Covid-19.

Menurut Noor Hisham kemasukan kes kritikal ke ICU di seluruh negara itu meningkat sebanyak 44 peratus berbanding tempoh dua minggu lalu.

Daripada jumlah itu katanya Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak menunjukkan kadar peningkatan yang lebih tinggi berbanding negeri lain.

“Sebanyak 22 hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil ICU melebihi 70 peratus malah ada yang mencecah lebih 90 peratus.

Hospital bukan Covid-19 juga terpaksa merawat pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan alat pernafasan kerana pesakit ini tidak dapat dipindahkan ke hospital Covid-19 akibat kesesakan wad ICU.

“Ada juga pesakit yang terpaksa diberi bantuan alat pernafasan di wad-wad biasa,” katanya.

Menurut Noor Hisham ketika musim perayaan menjelang dan liputan vaksinasi yang belum meluas serta kepadatan penduduk di sesetengah kawasan, ada kemungkinan hospital akan terus berdepan dengan peningkatan kes Covid-19 khususnya pesakit dengan gejala serius melibatkan golongan rentan seperti warga emas dan mereka yang memang ada masalah kesihatan.

“Bilangan kes harian juga masih tinggi dan belum menunjukkan sebarang penurunan dalam jangka masa terdekat. Pada hari ini sahaja, negara mencatat 4,498 kes baru.

“Justeru saya menyeru orang ramai untuk terus mematuhi SOP dan daftar segera sebagai penerima vaksin,” katanya.

Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/573805
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here