Oleh Arrazzaq Nazri

KUALA LUMPUR–Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa menteri-menteri UMNO mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Ahmad Zahid berkata, penubuhan RCI itu perlu disegerakan kerana pendedahan bekas dua pemimpin organisasi penting kerajaan itu perlu disiasat secepat mungkin.

“Saya bersetuju dengan ketetapan Pergerakan Pemuda UMNO untuk mendesak kerajaan menyegerakan penubuhan RCI.

“Pendedahan Abdul Hamid dan Tommy amat serius terutamanya melibatkan campur tangan politik dan rasuah dalam institusi yang menjadi benteng mempertahankan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (Jumaat, 7 Mei).

Penubuhan RCI katanya harus disegerakan untuk memulihkan kembali kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap institusi dan sistem yang membentengi negara.

Jelasnya lagi, beliau akan meminta menteri-menteri yang mewakili UMNO untuk membawa saranan tersebut kepada kerajaan agar tindakan segera dapat dilakukan.

Abdul Hamid yang bersara sebagai Ketua Polis Negara baru-baru ini mendedahkan wujudnya campur tangan ahli dan rasuah melibatkan ahli politik di dalam pasukan itu.

Tommy pula mendedahkan kepincangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di dalam bukunya bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’. –BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here