SAYA amat-amat setuju dengan suara mimik Dr Musa Nordin, seorang doktor pakar yang dikatakan dari sebuah swasta di Damansara.

Tak kisahlah sama ada suara itu suara Dr Musa atau tidak. Tapi saya sokong 101 peratus cadangan suara beliau itu.

Ini adalah rakaman audio yang kononnya suara seorang doktor pakar bernama Dr Musa Nordin.

Raya kali ini jika masih dibenarkan kunjung-mengunjung walaupun sekecil 14 atau 15 orang sekali pun, pendemik Covid-19 ini akan menjadi sarang jangkitan yang tidak boleh dibayangkan dalam sejarah negara.

Kita tidak pasti apa ada dalam fikiran Menteri Kesihatan, Menteri Kanan Keselamatan, waima Perdana Menteri sekali pun yang cuba membuat keputusan “separuh masak” seperti itu.

Saya tidak boleh bayangkan apabila mereka membenarkan Pasar Aidilfitri diadakan — apabila melihat suasana Pasar Ramadan bersesak-sesak dengan orang-ramai, sehingga merungsingkan kita semua.

Hari ini kes Covid-19 sudah mencecah 5,000 kes sehari. Di pusat-pusat kuarantin sudah kelihatan suasana yang amat tidak selesa. Katil-katil hospital sudah melepasi tahap kritikal 70 peratus. Petugas-petugas kesihatan sudah mulai letih, lesu, keliru dan fatigue.

Terus terang saya katakan “saya amat tidak faham” dengan keputusan orang-orang politik ini.

Saya juga tidak faham dengan PKP dalam Darurat Kesihatan (?) kali ini, kerana kenderaan masih lagi bersesak-sesak di atas jalan raya, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan itu baharu sahaja diisytiharkan.

Jika ramalan Dr Musa itu benar dan raya 14 atau 15 hari dibenarkan seperti biasa, maka pendemik India akan berlaku di negara ini.

Maka, kita akan melihat kes-kes melonjak kepada 10,000 orang sehari; dan apabila itu berlaku maka Melayu-Melayu yang berhari raya itu akan tercungap-cungap mencari bekalan oksigen untuk bernafas.

Pada masa itu, hospital-hospital tiada lagi katil untuk kita semua, tiada lagi mesin pernafasan untuk kita semua — maka kita akan perlahan-lahan mati di tepi-tepi jalan dan di bawah-bawah pokok — seperti di India.

Jika di Perth, Australia — dengan hanya 1 kes seluruh bandar raya ditutup (lockdown), kita di sini business as usual!

Benarkah kita di sini mempunyai menteri-menteri ahli politik yang membuat kenyataan mengatasi nasihat daripada pengurusan kesihatan negara sendiri.

‘Dr Musa’ berkata “percayalah kata saya” kes akan melonjak kepada 10,000 sehari jika Hari Raya dibenarkan kerana kita tahu bagaimana perangai orang-orang Melayu beraya — sehingga balang kuih pun mereka akan berkongsi dari satu tangan ke satu tangan.

“Mark my words” — kata Dr Musa! Jika keputusan separuh masak oleh orang-orang politik ini masih diambil kira dek mahukan populariti dan rating diri, maka bersediakan dengan pandemonium itu.

Jika orang ramai kurang faham apa erti pandemonium, ia bermakna “wild and noisy disorder or confusion; uproar — and everyone just panicked” (suasana tidak terkawal secara ganas, bising atau kekeliruan — dan semua orang dalam keadaan panik dan ketakutan).

Jika itu berlaku maka rating populariti akan berubah menjadi bencana kepada orang-orang politik itu.

Apabila ia berlaku dalam konteks Malaysia ini, pandai-pandailah kamu menepisnya. Ia akan menjadi malapetaka politik lebih besar daripada 1MDB!

Pada masa itu, nasi sudah menjadi bubur. Mark my words!

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here