Photo by Nico Smit on Unsplash
Oleh Dr Wan Rohani Wan Mokhtar

BULAN Ramadhan ibarat ladang pahala. Pelbagai amalan digalakkan untuk dilakukan di samping kefardhuan puasa di siang Ramadhan. Antaranya adalah bersedekah. Sedekah dapat dihuraikan sebagai pemberian oleh seseorang kepada orang lain yang memerlukan dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT sama ada pemberian itu ditujukan kepada fakir miskin, sanak-saudara, mahupun untuk orang yang memerlukan.

Amalan ini disyariatkan dengan jelas oleh Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 114: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”

Asasnya amalan ini digalakkan sepanjang masa tanpa membataskannya di bulan Ramadhan. Namun, tidak dapat disangkal lagi bahawa ganjaran pahala mereka yang mengerjakan amal ibadah dalam bulan Ramadhan adalah berlipat ganda. Ibadah fardhu diberi pahala sehingga tujuh puluh kali ganda, manakala ibadah sunat diberi pahala seperti ibadah fardhu.

Oleh demikian itu, sedekah pada bulan Ramadhan sangat digalakkan oleh Islam. Perkara ini ditegaskan dalam hadis Nabi SAW: “Sedekah paling utama adalah pada bulan Ramadhan.” (HR al-Tirmizi).

Malah dalam teladan yang ditunjukkan baginda Nabi SAW jelas memaparkan sifat kedermawanan baginda Nabi, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan yang merupakan saat yang istimewa, bahkan dalam hadis mengatakan kedermawan baginda SAW melebihi angin yang berhembus kerana baginda sangat ringan dan cepat dalam memberi, tanpa banyak berfikir, sebagaimana angin yang tiup pantas.

Justeru itu, kita sebagai umat nabi Muhamad SAW perlu meneladani baginda dan menanamkan semangat yang sama, iaitu semangat bersedekah terutamanya pada bulan Ramadhan.

Tambahan setiap amalan kebajikan yang dilakukan akan dilipatgandakan ganjarannya seperti mana sabda Nabi SAW: “Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh anak Adam akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kali ganda. (HR Muslim).

Dalam bulan ini juga terdapat satu malam yang istimewa, iaitu Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Alangkah beruntungnya mereka yang melazimi amalan bersedekah ini jika terkena pada malam Lailatul Qadar yang mana ganjaran pahalanya berlipat kali ganda.

Namun begitu, kita sering tersalah anggap dengan amalan sedekah. Ini kerana amalan ini biasanya sering dikaitkan dengan wang ringgit dan harta benda sahaja. Tetapi pengertian sedekah melangkaui batasan berbentuk material.

Bagi mereka yang mempunyai harta dan wang ringgit tentulah tiada halangan untuk memberi sedekah dalam bentuk tersebut. Akan tetapi bagi yang tiada kemampuan wang dan harta, apakah sedekah yang boleh dihulurkan oleh mereka agar mereka juga dapat sama-sama merebut ganjaran pahala pada bulan yang mulia ini?

Sebagai jawapan kepada persoalan tersebut, pada umumnya terdapat banyak bentuk sedekah yang boleh dilakukan tanpa melibatkan wang ringgit atau harta benda. Di antaranya adalah, pertama sedekah berbentuk sumbangan ilmu dan idea. Amalan ini termasuklah berkongsi ilmu tanpa bayaran sebagai imbalan.

Contohnya seperti mengajar al-Quran dan menyampaikan ilmu melalui tazkirah dan ceramah.

Kedua, sedekah berbentuk sumbangan tenaga. Amalan ini boleh dilakukan tanpa sebarang kos wang ringgit dan harta benda. Umpamanya seperti membersihkan masjid, membuang sampah yang dijumpai di tepi-tepi jalan dan membantu meringankan kerja orang lain.

Ketiga, sedekah berbentuk doa dan kata-kata yang baik, memberi semangat dan motivasi kepada orang lain. Tambahan pula, ketika musibah pandemik COVID-19 ini, ramai mereka yang mengalami tekanan perasaan, kemurungan, kehilangan pekerjaan dan sebagainya.

Justeru mereka amat memerlukan doa dan nasihat yang baik sebagai satu bentuk sokongan moral.

Jelasnya, semua amalan kebajikan yang disebutkan ini adalah sedekah yang mungkin ramai terlepas pandang. Mereka beranggapan bahawa tidak mampu memberi sedekah kerana sedekah itu perlu dilakukan dalam bentuk wang ringgit dan harta benda sahaja.

Jadi, semua amalan kebajikan dikira sebagai sedekah dan ganjaran pahalanya adalah sama dengan amalan-amalan kebajikan yang lain yag turut berlipat ganda apabila dilakukan pada bulan Ramadhan.

Alangkah mudahnya untuk memberi sedekah. Justeru, sangat rugi sekiranya kita tidak berusaha untuk merebut peluang bagi mendapatkan ganjaran pahala melalui amalan sedekah pada bulan mulia ini.

Oleh itu, marilah sama-sama kita menghulurkan sedekah kepada yang memerlukan mengikut situasi dan kadar kemampuan masing-masing khususnya pada bulan yang mulia ini agar kita dapat meringankan bebanan material, fizikal dan mental di samping mengumpulkan ganjaran pahala berlipatganda sebagai bekalan di hari akhirat kelak. – BebasNews

Dr Wan Rohani

Dr Wan Rohani Wan Mokhtar merupakan Pensyarah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here