Photo by RODNAE Productions from Pexels

 

Oleh AMREE AHMAD

MUKTAMAD… Setelah bertahun-tahun perkataan ini menjadi polemik pertikaian pelbagai pihak, akhirnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah memuktamadkan terjemahannya.

Menerusi hantaran dalam akaun sosial rasmi agensi itu baru-baru ini, ‘bubble tea’ diterjemahkan sebagai teh mutiara dan bukannya teh bergelembung, teh bebola atau pun teh berbuih.

Ia diberi maksud sejenis minuman berasaskan teh ditambah susu atau dimaniskan mengikut cita rasa tertentu sebelum ditambah bebola kecil kanji ubi, cincau, agar-agar dan puding.

Infografik slot Peka Bahasa itu yang meletakkan minuman tersebut dalam bidang makanan turut tular apabila menerima lebih 1,000 tanda suka selain dikongsi oleh ratusan warganet.

Ada pengguna media sosial tempatan mengucapkan syabas kepada DBP kerana berjaya memberi erti jitu dua perkataan itu daripada asalnya, bahasa Cina disebut ‘boba-naicha’.

“Tahniah DBP! Ia diterjemah betul mengikut bahasa Cina. Orang kita ada salah faham tetapi ia bukan teh bebola, berbuih atau gelembung,” kata netizen bernama Kiridaren Jayakumar.

Komen itu turut disokong warganet Zhang Faris menulis: “Tepat terjemahan ini sebab istilah asal dalam bahasa Cina secara harfiah ialah teh susu mutiara kerana biji bagaikan mutiara.”

Bahkan netizen bernama Nurull Fare memuji terjemahan itu dengan menulis: “Sedap nama, teh mutiara, tukar kepada bahasa Melayu lagi ada ‘kelas’ daripada guna bahasa orang putih.”

Minuman berasaskan teh dikatakan berasal dari Taiwan sekitar awal dekad 1980-an sebelum dikomersialkan sebagai produk perniagaan dan berkembang popular meluas seluruh dunia.

Bagaimanapun, trend fenomena ‘kegilaan’ minuman ini turut mencetuskan kontroversi dari sudut nilai kesihatan kerana didakwa mengandungi 20 sudu gula bagi setiap 100 milliliter.-

BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here