FOTO: NSTP.

 

Oleh Zainal AS Rashid

MENTERI Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata semua premis dan lokasi yang tersenarai di bawah sistem amaran awal Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) bukan sah kluster Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata premis yang disenaraikan di bawah HIDE adalah berbeza daripada senarai kluster yang dikeluarkan setiap hari oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham.

Oleh yang demikian semua premis di bawah HIDE tidak perlu ditutup, kecuali apabila diarahkan oleh pihak berkuasa.

Bagaimana pun, premis dan lokasi berkenaan mempunyai potensi untuk bertukar menjadi kluster sekiranya langkah-langkah awal tidak diambil.

Sebelum ini Khairy telah mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menyenaraikan premis yang berisiko tinggi menyebarkan jangkitan Covid-19 di bawah HIDE.

Sistem HIDE yang dibangunkan bersama dengan Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kesihatan adalah bertujuan bagi memberikan amaran awal untuk mengelak penularan virus berdasarkan data melalui aplikasi mySejahtera.

Menurut Khairy tujuh hari pertama selepas premis disenaraikan adalah amat penting kerana kluster boleh membentuk jika langkah-langkah awal tidak diambil.

Beliau berkata tindakan awal, termasuk mengawal pergerakan orang ramai dan mengadakan ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja merupakan cara terbaik bagi mengekang penularan Covid-19.

Jika tiada lokasi panas dikesan di sesebuah premis selepas pelaksanaan tindakan awal, premis berkenaan akan dikeluarkan daripada senarai HIDE dalam masa tujuh hari dan senarai premis yang digugurkan akan disiarkan setiap hari.

Khairy berkata namun demikian sesebuah premis mungkin disenaraikan semula di bawah HIDE lebih daripada sekali. Ini menunjukkan bahawa tindakan kawalan di premis tersebut tidak mencukupi.

Dalam pada itu, premis yang kerap dikunjungi oleh orang ramai, sesak dan tanpa peredaran udara yang baik adalah berisiko disenaraikan lebih daripada sekali.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya menunda kunjungan ke premis dan lokasi tersenarai, tetapi jika tidak dapat dielakkan mereka perlu sentiasa mematuhi peraturan dan amalan norma baharu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here