ARMANI Idris bersama nieshanya, Sheril Aida.

 

Oleh MUZLINA ABU BAKAR
Foto & Video: SYED WAFA

SETELAH 23 tahun tidak bersua muka, dengan kali terakhir saya wawancara beliau pada 2 April 1998, Rabu lalu seperti yang dijanjikan pada pukul 4 petang saya bersama juru foto dan juru video, Syed Wafa sampai di kediaman anaknya, Nur Puteri, di Damansara Perdana, Petaling Jaya.

Sebaik bertentang mata kami saling bertanya khabar dan sesuatu yang membuatkan saya terpegun, Sheril Aida yang saya kenal 33 tahun dahulu tidak banyak bezanya hari ini dari segi perwatakannya yang manja dan mudah mesra, malah masih cantik dan bergaya walaupun usianya kini sudah mencecah 52 tahun.

HARI bahagia Sheril Aida bersama Datuk Railey Jeffrey apabila mereka disahkan sebagai suami isteri pada 23 Disember 1988.

Itulah Sheril Aida, ibu kepada empat orang anak Nur Thania, 32, Mohd. Hazrul Andika,30, Nur Puteri, 27, dan Muhammad Hafiz,24, daripada perkahwinannya dengan bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Railey Jeffrey yang pernah menggemparkan dunia seni apabila berita perkahwinan mereka pada 23 Disember 1988 tersiar di dada akhbar tempatan.

Perkahwinannya mengejutkan industri hiburan tanah air kerana tiada angin dan ribut tiba-tiba penyanyi yang cukup popular dengan lagu “Tiada Arah Tujuan” melalui album pertamanya pada 1988 menamatkan zaman gadisnya pada usia 20 tahun.

Sheril Aida kemudian menyepikan diri dari dunia seni kerana tugas dan kewajipannya yang begitu komited dengan tanggungjawab sebagai isteri seorang menteri.

Sesekali Sheril Aida atau nama sebenarnya Sharifah Sheril Aida Al-Yahya yang lebih mesra disapa Aida, hanya kelihatan di majlis-majlis rasmi dan suara serak-serak basahnya itu hanya boleh didengar di majlis rasmi Kementerian Penerangan (kini dikenali Kementerian Komunikasi dan Multimedia) dan kadangkala berduet dengan Menteri Penerangan, Datuk Mohamed Rahmat (kini Allahyarham)

Apabila sudah menjadi isteri menteri, Aida semakin jauh dari radar dunia seni yang penuh glamor. Namun sikap mesra dan mudah tersenyum itu tetap menjadi identiti figura bertubuh tinggi lampai, berkulit putih kuning dan adik kepada penyanyi, Datuk Seri Syed Sobrie.

Dalam kenangan: Sheril Aida bersama Allahyarham Datuk Railey Jeffrey dan anak-anak mereka.

Dalam pertemuan hari itu, Aida, yang dipanggil niesha (nenek) oleh dua orang cucunya, Armani Idris, lima tahun dan Ariana Iman Narcella, dua tahun, tenang ketika ditanya mengenai kehidupannya hari ini sebagai ibu tunggal lalu berkata;

“Beginilah rutin harian saya. Selain menjalankan tugas seorang ibu kepada tiga orang anak yang belum berkahwin, saya akan ke rumah Puteri dan suaminya, Arief Ab. Hamid,33, untuk bermain dengan cucu saya.”

Bagi Aida, meskipun tidak pernah menduga perpisahan akan mengakhiri ikatan perkahwinan mereka namun tetap terpahat di hatinya bahawa Allahyarham adalah seorang suami yang baik dan ayah yang penyayang serta bertanggungjawab terhadap anak-anak.

“Saya masih ingat lagi, ketika anak-anak masih kecil dan setiap kali balik daripada tugas harian di pejabat, Allahyarham akan mengambil masa sekurang-kurangnya 10 minit menyantuni anak-anak yang masih kecil bagi menghilangkan rindu kerana seharian tak berjumpa mereka.

“Sikapnya itulah yang menyentuh hati saya. Sebagai insan kita sentiasa mengharapkan rumahtangga kekal bahagia namun jodoh pertemuan dan ajal maut adalah ketentuan-Nya dan sebagai hamba-Nya kita harus menerima takdir yang telah ditentukan.

KASIH seorang ibu…
Dari kiri: Mohd. Hazrul Andika, Nur Puteri, Sheril Aida, Nur Thania dan Muhammad Hafiz.

“Kalau ditanya perasaan ketika kami berpisah memanglah sedih namun saya reda menerima ketentuan Ilahi,” kata Sheril Aida menyingkap kembali memori hidupnya.

Itulah hakikat yang harus diterima
oleh Aida dan Railey Jeffrey yang tidak pernah menduga setelah 25 tahun hidup bersama sebagai suami isteri akhirnya mereka harus meletakkan noktah pada perkahwinan mereka dan berpisah secara baik pada 2013.

Meskipun telah berpisah namun hubungan silaturahim antara beliau dengan Railey Jeffrey tetap seperti dahulu demi anak-anak, apalagi dalam keadaan ayah kepada anak-anaknya mengidap Parkinson sejak 1998 dan menetap bersama ibu Sheril Aida, Hajjah Siti Aminah Jusoh di Damansara Lagenda.

Setiap hari beliau akan pastikan menyantuni bekas suaminya bersama ibunya dan hanya akan pulang ke rumahnya apabila anak
sudah balik dari tugas masing-masing.

“Selalunya saya datang waktu pagi dan pulang ke rumah pada sebelah malam. Saya terus menziarah dan menjaganya sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 26 Disember tahun lalu,”‘cerita Aida.

Menurut Aida, walaupun telah berpisah sejak tujuh tahun lalu pemergian Railey Jeffrey tetap meninggalkan kesan bukan sahaja di hati anak-anak malah beliau turut merasakannya.

“Tarikh 26 Disember 2020 tetap terkesan di hati saya dan anak-anak kerana pada hari itulah beliau pergi meninggalkan kami semua. Saya dan anak-anak tidak dapat membayangkan bagaimana hari raya kami tahun ini tanpa Allahyarham.

SHERIL Aida bersama kakaknya, Sharifah Shahirol Nizam dan cucunya, Amani Idris dsb Ariana Iman Narcella.

“Walaupun Allahyarham sakit Parkinson sejak 1998 namun kesihatannya mula merosot setelah terjatuh. Tetapi daripada anak-anak saya mendapat tahu walaupun kurang sihat beliau akan keluar setiap hari malah sanggup beratur untuk membayar pelbagai bil meskipun itu boleh diselesaikan melalui online.

“Itulah keperibadiannya yang amat saya hormati kerana Allahyarham lebih suka menjalani kehidupan seperti orang biasa sejak tidak menjadi Ahli Parlimen Silam pada 2004. Allahyarham tidak mahu terikat dengan protokol anak-anak yang mahukan daddy mereka berehat di rumah,” cerita Sheril Aida.

Apabila ditanya menu hari raya kegemaran Allahyarham Railey Jeffrey, Aida memberitahu setiap kali hari raya beliau akan memasak makanan kegemaran Allahyarham pulut, ketupat, rendang ayam dan kuah kacang yang dicampur dengan daging cincang.

Bercakap mengenai rancangan masa depannya, Sheril Aida bekas Pengarah DiMuara Pictures yang pernah menerbitkan program untuk RTM setelah Railey Jeffrey tidak menjadi Timbalan Menteri Penerangan, antaranya Music Of Sabah (dua musim iaitu 26 episod pada tahun 2004), Women to Women, Kidz and Kidz dan Anggun 40 dengan beliau menjadi hosnya berkata;

“Zaman untuk bekerja dan memikirkan production telah berakhir. Kini anak kedua saya, Hazrul akan meneruskan minat dan legasi kami melakui Railey’s Production.

“Sebelum pandemik Covid-19, Railey’s Production ada menerbitkan pelbagai muzik video dan program TV tetapi kini terpaksa dihentikan buat sementara waktu.”

Bagi Sheril Aida, dalam usianya mencecah setengah abad beliau kini hanya mahu menumpukan perhatian mendalami agama di samping belajar mengaji dengan ibunya untuk melancarkan bacaannya.

“Tiada apa yang lebih bermakna dan menggembirakan hati seorang ibu selain melihat kejayaan anak-anaknya demi kelangsungan hidup mereka di masa hadapan.

MANJANYA…Ariana Iman Narcella dalam pelukan nieshanya (nenek), Sheril Aida.

“Saya amat bersyukur masing-masing mempunyai kelulusan yang boleh membantu menuju ke arah hidup yang berjaya kerana jika kita membekalkan mereka dengan wang ringgit walau setinggi gunung tanpa ilmu ia akan hanyut.”

Menurut Sheril Aida, walaupun keempat-empat anaknya mempunyai diploma dan ijazah dalam bidang dan kemahiran masing-masing namun mereka lebih berminat berniaga.

“Saya tidak halang minat dan kemahuan mereka kerana bagi saya mencari rezeki halal lebih bermakna,” kata Sheril.

SHERIL Aida bersama anak-anak, cucu dan menantunya, Arief Ab. Hamid (kiri sekali)

Anak sulung beliau Nur Thania pemegang Diploma Art Design bersama adiknya, Nur Puteri yang memiliki Ijazah Perniagaan Fesyen dari London College of Fashion dan pernah mempunyai Butik Railey’s Official di Kota Damansara kini menjalankan perniagaan secara dalam talian kerana pandemik Covid-19.

Sementara Mohd Hazrul Andika siswa dari Universiti East of London dan memiliki Ijazah dalam bidang multi media meneruskan minatnya dalam bidang penerbitan dengan syarikatnya, Railey’s Productions Sdn. Bhd.

Anak bongsunya, Muhammad Hafiz, pemegang Ijazah Seni Halus dari Universiti Birmingham City kini menanti hari konvokesyennya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here