Gambar: First Post.Com
Oleh Arrazaq Nazri

KUALA LUMPUR–Orang ramai dinasihatkan tidak perlu berasa bimbang berhubung serpihan roket Long-March 5B milik China yang dijangka akan terhempas ke bumi dalam masa terdekat ini.

Menurut Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah, kebarangkalian objek serpihan yang akan terhempas tersebut untuk menimpa manusia atau merosakkan mana-mana struktur bangunan adalah sangat rendah.

“Ia berikutan keadaan muka bumi yang terdiri daripada 70 peratus air selain keluasan kawasan negara ini yang kecil berbanding keluasan bumi.

“Setakat ini, lokasi tepat serpihan yang akan terhempas ini masih tidak dapat diramal dengan tepat, namun MYSA akan memaklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, orang ramai juga dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi nasihat yang dikeluarkan MYSA sekiranya mengesyaki atau melihat kejadian tersebut.

Jelasnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyentuh atau mengambil sebarang objek yang mencurigakan daripada kejadian tersebut, hubungi talian kecemasan dan membuat laporan sewajarnya.

“Rakaman video juga amat digalakkan sebagai bahan rujukan dalam membantu penyiasatan kelak.

“Orang ramai juga dilarang membuat sebarang hebahan termasuk menyebarkan maklumat palsu berkaitan kejadian tersebut. Sebarang maklumat rasmi yang telah disahkan sahaja yang akan dihebahkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Mengulas lanjut, terdapat kemungkinan besar hanya sebahagian kecil daripada sisa roket tersebut yang akan terselamat selepas melepasi atmosfera dan mendarat ke bumi.

Roket Long March 5B dilancarkan pada 29 April lalu untuk menghantar modul teras stesen angkasa China yang dinamakan Tianhe dan seberat 22,600 kilogram ke orbit pengoperasiannya di angkasa.

Orbit sisa roket tersebut merupakan orbit jenis Elips dengan ketinggian paling dekat 170 kilometer(KM) dan ketinggian paling jauh 372KM daripada paras laut muka bumi.

Sisa roket berkenaan dijangka akan jatuh ke muka bumi dalam beberapa hari selepas penghantaran tersebut disebabkan seretan atmosfera yang kuat pada orbit.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here