KUMPULAN lama atau barisan yang berkaitan dengan geng terdahulu menang besar dalam pemilihan pucuk pimpinan Persatuan Kriket Malaysia (MCA) pada 24 April 2021.

Berikutan terbelenggu dengan perlembagaan, presiden terdahulu Mahinda Vallipuram tidak dapat bertanding kerana memegang jawatan itu selama tiga penggal atau enam tahun.

Orang kanannya, Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali dipilih presiden dengan semua jawatan lain dimenangi kumpulan ini.

Bekas pembaling kebangsaan, Venu Ramadass yang mengetuai grup penentang kalah teruk dan rata-rata tidak sampai 30 peratus sokongan berjaya diraih.

Ada yang mengatakan kumpulan penentang tidak buat perancangan bijak; ada pula menyebut bahawa undi jawatankuasa yang masih menyandang jawatan memberi kelebihan berbanding dua perwakilan setiap negeri.

AHMAD FEISAL AHMAD TAJUDDIN

Secara telus, Venu dan kumpulannya memiliki misi tinggi jika menang berbanding barisan lama.

Apa pun dua tahun lagi sehingga musim 2023, nasib kriket di Malaysia bakal mengharungi kegetiran. Ranking pencapaian peringkat antarabangsa jauh ketinggalan berbanding di tangga ke-23 dahulu.

Pencapaian Malaysia daripada pasukan peringkat usia hinggalah skuad perempuan dan barisan senior amat membimbangkan. Cerita pembangunan sering dipelbagaikan agar ia dilihat menonjol tetapi hakikatnya tiada lagi kecemerlangan buat masa ini.

Dua gelanggang utama seperti Bayuemas Oval dan Kinrara Oval mungkin terlepas kepada pemilik dan pemaju manakala gelanggang lain tidak sehebat kedua-dua stadium itu.

Sama ada pembangunan yang ditaja Yayasan Sime Darby dapat menghasilkan kenyataan, terpulang kepada sikap peserta program ini sendiri. Dari satu sudut jurulatih memerlukan ketegasan dan mereka ini perlu ada kualiti kejurulatihan. Janganlah hanya semacam melepas cakap di warung sahaja.

IQBAL ALI KASSIM ALI

Siapakah jurulatih-jurulatih pembangunan? Kemudahan asas perlu wujud bukan sahaja di bandar tetapi jauh di pedalaman seperti gelanggang latihan di perkampungan Orang Asli di Kuala Betis, Gua Musang.

Pemantauan juga perlu dititikberatkan kerana sebahagian daripada peserta pembangunan akan hilang tumpuan selepas beberapa waktu menyertainya.

Apakah sokongan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pelajaran benar-benar hebat? Setakat mana difahamkan, ia hanya berbentuk moral sahaja kerana dari sudut kewangan jauh sekali. Yang nyata bahagian ini berkehendakkan nama mereka terbabit sama.

Berbalik kepada grup yang menang ini, secara jelas naib presidennya, Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin bersedia ke jawatan presiden dua tahun lagi. Sebagai Presiden Persatuan Kriket Kedah untuk banyak tahun, dia dikatakan sudah memberi gambaran akan merampas kedudukan tinggi itu. Ingat, dia juga bekas Bendahari MCA.

Ahmad Feisal memiliki ramai penyokong dari luar termasuk pemain nasional kerana dia pernah menjadi pengurus skuad senior kebangsaan. Difahamkan Ahmad Feisal boleh membawa barisan lebih mantap berbanding sekarang.

Tetapi yang pentingnya, ranking lebih tinggi dan pelbagai kemenangan yang perlu diburu Malaysia.

Harap-harap komiti MCA sekarang kenalah bertenaga sikit. Jurulatih sepenuh masa pun janganlah bersikap sambil lewa sahaja.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here