GAMBAR: NSTP.

 

Oleh Zainal AS Rashid

KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham menasihatkan agar rakyat Malaysia mengambil iktibar daripada bencana gelombang kedua pandemik Covid-19 yang sedang melanda India dan mengelakkan keadaan yang sama berlaku di negara ini.

Beliau berkata lonjakan tinggi secara mendadak jumlah kes di India berlaku berikutan keputusan kerajaan melonggarkan kawalan pergerakan setelah mengisytiharkan bahawa pandemik tersebut berjaya dikawal pada awal tahun ini.

Susulan itu beliau berkata ramai tidak lagi mengambil serius keadaan dan mengetepikan SOP, justeru menyaksikan orang ramai berasak-asak beriadah di pantai, di upacara keagamaan dan majlis perkahwinan.

Dr Noor Hisham turut merujuk kepada pilihan raya yang diadakan di lima negeri dan kempen membabitkan perhimpunan lebih 200,000 orang tanpa memakai pelitup muka mahu pun mengamalkan penjarakan fizikal hingga menyebabkan penularan jangkitan, kata beliau pada sidang media semalam.

Setakat ini India telah merekodkan sejumlah 21.49 juta kes, dengan sebanyak 1.57 juta kes baharu dalam masa hanya seminggu lalu.

Beliau juga menjelaskan betapa pentingnya bagi Malaysia mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 pada Januari lalu yang tidak membenarkan pilihan raya sepanjang tempoh tersebut.

Dr Noor Hisham berkata dengan itu tiga pilihan raya kecil, iaitu di Batu Sapi, Bugaya dan Gerik tidak diadakan, sementara pilihan raya negeri Sarawak pula ditunda.

Tambah beliau lagi, sekiranya pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak berlangsung tentu sekali akan diadakan perhimpunan untuk berkempen.

Beliau berkata senario demikian di Sarawak boleh menyebabkan penularan kes Covid-19 ke kawasan pedalaman, justeru menjadi mimpi buruk logistik bagi kakitangan kementerian kesihatan kerana kepayahan untuk membantu di kawasan-kawasan terpencil.

Di bawah Ordinan Darurat semua pilihan raya kecil, pilihan raya negeri dan pilihan raya umum tidak boleh diadakan sehingga 1 Ogos.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here