Aliran trafik Lebuhraya PLUS pada jam 10 pagi di KM414 berhampiran susur keluar Tol Rawang kenderaan menghala utara semakin bertambah sempena cuti umum selama tiga hari dan sambutan Hari Krismas yang disambut hari ini./Foto: NSTP.
Oleh Hafiz Hassan

KALAU ditanya apakah hukum berpuasa pada bulan Ramadan?, si anak kecil yang sudah dikenalkan dengan rukun Islam pasti akan mengetahuinya.

Tapi kalau ditanya bilakah ia disyariatkan atau diwajibkan, maaf cakap, ayah kepada si anak kecil yang sudah berpuluh-puluh tahun berpuasa pada bulan Ramadan belum pasti mengetahuinya.

Berpuasa pada bulan Ramadan disyariatkan pada bulan Syaaban tahun kedua Hijrah melalui firman Allah yang seringkali dibacakan menjelang Ramadan, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa itu telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan kepada umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa. Iaitulah pada hari-hari yang ditetapkan.” (Surah al-Baqarah: 183)

Ini bermakna apa yang disambut bila berakhir Ramadan sebagai Hari Raya Idulfitri itu bermula juga pada tahun kedua Hijrah.

Nah, renung-renungkan. Apakah signifikasinya?

Jawabnya mudah. Hari Raya Idulfitri yang disambut selepas berakhirnya puasa di bulan Ramadan buat pertama kalinya dalam sejarah Islam disambut oleh Nabi (s.a.w) dan para sahabat dari kalangan Muhajirun di kota Madinah – jauh dari kampung halaman di kota Makkah.

Nabi (s.a.w) dan para sahabat Muhajirun pun tidak balik kampung untuk beraya dengan keluarga yang ditinggalkan di kota Makkah demi berhijrah ke Madinah.

Berhijrah demi agama. Demi nyawa.

Kedua-duanya adalah antara maqasid Shariah.

Demi agama dan nyawa jugalah Nabi (s.a.w) dan para sahabat Muhajirun tidak balik kampung selepas berhijrah ke kota Madinah. Bagi Nabi (s.a.w) dan para sahabat Muhajirun, balik kampung menjadi sesuatu yang tidak mungkin kerana perang Badar baru sahaja ditempuri pada 17 Ramadan dengan kemenangan di pihak orang-orang Islam di bawah pimpinan Baginda.

Perang Uhud kemudian menyusul pada 7 atau 11 Syawal tahun ketiga Hijrah. Dua tahun kemudian (tahun kelima Hijrah) orang-orang Islam di Madinah sekali lagi bertempur dalam perang Khandaq, yang dikenalikan juga dengan nama perang Ahzab, yang melibatkan orang-orang musyrikun Makkah dan bebarapa kelompok Yahudi dan orang-orang munafikun Madinah.

Pendek kata, dua buah kota besar di bumi Arab berada dalam dalam keadaan perang (state of war). Bagaimanakah mungkin untuk balik kampung?

Ini berlaku sehingga peristiwa pembukaan kota Makkah pada 10 Ramadan tahun kelapan Hijrah.

Tidak rindukah Nabi (s.a.w) dan para sahabat Muhajirun pada kampung halaman mereka, iaitu kota Makkah? Kerinduan Nabi (s.a.w) pada kota kelahirannya pernah dinukilkan dalam sebuah kisah yang melibatkan seorang sahabat bernama Ashil Al-Ghifari yang baru kembali dari Tanah Haram. Ketika hendak menemui Nabi (s.a.w), Aisyah bertanya kepadanya, “Wahai Ashil, bagaimanakah keadaan Makkah sekarang?”

Ashil menjawab, “Aku melihat Makkah subur wilayahnya, dan menjadi bening aliran sungainya.”

“Duduklah engkau, wahai Ashil. Tunggu sampai Baginda datang,” kata Aisyah.

Tidak lama kemudian Nabi (s.a.w) pun keluar dari kamarnya dan menanyakan hal yang sama, “Wahai Ashil, ceritakanlah padaku bagaimana keadaan Makkah sekarang?”

Ashil menjawab, “Aku melihat Makkah subur wilayahnya, telah bening aliran sungainya, telah banyak tumbuh idzkirnya (nama sejenis pohon), telah tebal rumputnya, dan telah ranum salamnya (sejenis tanaman yang biasa digunakan untuk menyamak kulit).”

“Cukup, wahai Ashil. Jangan kau buat kami bersedih,” ucap Nabi (s.a.w) dengan penuh rindu.

Sebelum peristiwa pembukaan Makkah, Nabi (s.a.w) bertahan dari balik kampung demi nyawa orang-orang Islam dan demi kelangsungan agama. Nabi (s.a.w) hanya memanjatkan doa demi kebaikan dan keagungan kota Makkah.

Nah, kalau Nabi (s.a.w) pun bertahan untuk tidak balik kampung demi agama dan nyawa selama enam tahun, kenapa tidak kita.

Demi agama. Demi nyawa.

Kedua-duanya wajib dipelihara. Janganlah kita membawa virus korona bersama kita tanpa disedari ke kampung halaman.

Bertahanlah. Bersabarlah.

Berpuasa pada bulan Ramadan baru sahaja melatih kita untuk bertahan dan bersabar.

Hafiz Hassan merupakan pembaca BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here