Oleh Zainal AS Rashid

PADA 1 April lalu isteri dan anak perempuan seorang ketua pengarang sebuah akhbar terkemuka di Gujarat, India telah bergegas menuju ke sebuah hospital di Gandhinagar bagi mendapatkan ujian Covid-19 untuk anak perempuannya.

Semasa beratur menunggu giliran mereka ternampak dua beg mayat di atas troli. Petugas hospital memberitahu bahawa yang mati ialah pesakit Covid-19, lapor bbc.com.

Setelah siap mereka pulang ke rumah dan memberitahu Rajesh Pathak yang merupakan ketua pengarang edisi tempatan akhbar Sandesh tentang apa yang mereka lihat di hospital itu.

Pathak terus menelefon wartawannya supaya segera menyiasat perkara tersebut.

Beliau berasa terpanggil untuk segera membuat liputan kerana sebelum itu beberapa siaran akhbar kerajaan tidak menyatakan sama ada berlaku kematian pesakit Covid-19 di Gandhinagar, selain hanya sembilan kematian dilaporkan di Gujarat pada hari itu.

Keesokan harinya sekumpulan wartawan mula menghubungi semua hospital yang merawat pesakit Covid-19 di tujuh bandar raya, termasuk Ahmedabad, Surat, Rajkot, Vadodara, Ghandinagar, Jamnagar dan Bhavnagar bagi mengira jumlah mangsa yang mati.

Hasil siasatan yang mengejutkan telah menggerakkan akhbar Sandesh yang berusia 98 tahun itu secara konsisten melaporkan jumlah kematian harian yang didapati beberapa kali ganda lebih tinggi daripada angka yang dinyatakan oleh kerajaan.

“Kami mempunyai sumber dalaman di hospital, dan kerajaan tidak pula menafikan laporan kami, tetapi kami masih memerlukan pengesahan rasmi,” jelas Pathak.

Pathak membuat siri liputan tersebut secara ‘tradisional’. Pada petang 11 April dua wartawan dan seorang juru foto menunggu di depan bilik mayat hospital Covid-19 yang mempunyai 1,200 katil di Ahmedabad.

Sepanjang 17 jam di situ mereka telah mengira sebanyak 69 beg mayat yang dikeluarkan melalui sebuah pintu sebelum dimuatkan ke dalam ambulans. Keesokan harinya Gujarat mencatatkan sebanyak 55 kematian, termasuk 20 di Ahmedabad.

Pada malam 16 April kedua-dua wartawan memandu sejauh 120km di sekitar Ahmedabad dan memeriksa 21 kawasan pembakaran mayat. Mereka mengira beg mayat dan unggun api, menyemak buku pendaftaran, bercakap dengan pekerja pembakaran, meneliti slip keterangan setiap mayat, mengambil gambar dan merakam video.

Mereka mendapati bahawa kebanyakan kematian adalah disebabkan oleh ‘komplikasi jangkitan’, walaupun mayat-mayat tersebut dikendalikan mengikut protokol ketat. Pada penghujung malam mereka telah berjaya mengira lebih daripada 200 mayat. Bagaimana pun keesokan harinya pihak berkuasa Ahmedabad hanya mengumumkan 25 kematian.

Sepanjang April lalu, para wartawan Sandesh tanpa penat lelah terus berdepan dengan bahaya untuk mengira dan melaporkan jumlah kematian di tujuh bandar raya.

Menjelang 21 April mereka telah merekodkan 753 kematian, iaitu angka harian tertinggi sejak gelombang kedua Covid-19 melanda Gujarat. Pada hari-hari biasa mereka mengira lebih 500 kematian, dan pada 5 Mei akhbar tersebut mencatatkan sebanyak 83 kematian di Vadodara, walaupun angka rasmi menyebut hanya 13.

Apabila ditanya kerajaan negeri Gujarat menafikan bahawa mereka sengaja mengurangkan angka, tetapi hanya mengikut protokol yang telah ditentukan oleh kerajaan pusat.

Namun demikian, laporan oleh akhbar lain turut menyokong pendedahan oleh Sandesh. Akhbar berbahasa Inggeris, The Hindu melaporkan sebanyak 689 mayat dibakar atau dikebumikan di tujuh bandar raya di bawah protokol Covid-19.

Dengan pandemik memaksa orang ramai tidak menghadiri upacara pembakaran mayat waris, akhbar menjadi tumpuan bagi mengumumkan kematian.

Apa yang nyata setiap pengumuman dan ucapan takziah hanya membuktikan betapa angka kematian jauh lebih tinggi daripada jumlah rasmi yang diumumkan oleh kerajaan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here