FARAH Ahmad dan anak-anak berbaju kurung Kedah pada pagi Aidilfitri. Duduk di kerusi: Mhia Farhana. Duduk di lantai dari kiri: Thia Farhana dan Dhia Farhana.

 

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

WALAUPUN tahun ini adalah kali kedua dia dan anak-anak beraya tanpa seorang lelaki bernama suami dan ayah namun sebagai ibu, beliau tetap melaksanakan tanggungjawabnya.

Baginya kegembiraan anak-anak adalah kebahagiaannya dan beliau akan berusaha memenuhi permintaan mereka kerana tidak mahu mereka merasa diabaikan.

Jika tahun lalu anak-anak tidak minta baju raya mungkin rasa pilu kehilangan ayah tercinta masih berbekas di hati namun tahun ini tanpa beliau duga anak-anaknya – Dhia Farhana,17, Mhia Farhana,14, dan Thia Farhana, 8, menzahirkan hasrat kepada ibu mereka, Farah Ahmad untuk memakai baju kurung Kedah pada pagi raya, ketika Farah balik bercuti ke KL.

Farah yang sebelum ini menjalani penggambaran drama 20 episod “The Hotel” berkampung di Port Dickson lebih sebulan. Beliau diberi cuti empat hari dan balik ke KL pada awal Mei kerana penggambaran tidak melibatkan beliau.

FARAH Ahmad bersama anak berbaju kurung Kedah sempena Hari Raya Aidil Fitri.
Duduk di kerusi: Mhia Farhana dan Farah Ahmad.
Duduk di lantai: Thia Farhana dan Dhia Farhana.

“Selepas ayah mereka, Pitt lemas pada 26 Oktober 2019, raya tahun lepas anak-anak tidak minta baju raya. Sebagai ibu saya tidak lupa tanggungjawab terhadap anak-anak dan sentiasa cuba memenuhi impian mereka tetapi mereka tidak mahu.

“Alhamdulillah pada awal Mei apabila saya bercuti dari shooting dan balik ke KL anak-anak semua menzahirkan hasrat nak baju baru. Saya ikutkan aje kerana bagi saya keceriaan mereka adalah kebahagiaan saya.

“Sejak ayah mereka meninggal dunia sayalah ayah dan ibu mereka dan seboleh mungkin saya akan penuhi impian anak-anak,” kata Farah Ahmad,43, dengan tenang sambil memandang satu demi satu wajah anak-anak ketika mencuba baju raya mereka.

Menurut Farah, beliau bernasib baik kerana ibu mertuanya, Fauziah Nawi mengenali seorang tukang jahit bernama Cikgu Fieda yang sanggup menerima tempahan walaupun pada saat akhir dan semalam baju mereka siap!

“Apabila melihat anak-anak gembira mencuba baju raya mereka, saya rasa sayalah ibu yang paling bahagia di dunia kerana dapat memenuhi impian mereka. Raya kan setahun sekali,” kata Farah sambil membelek anak-anaknya satu demi satu.

Farah Ahmad dan anak-anak kehilangan orang tersayang, Mohd. Firdaus Mohamed Haniff atau lebih dikenali Pitt yang lemas apabila sampan yang dinaikki pecah dan hanyut di Sungai Mela, Kuala Lipis, Pahang pada 26 Oktober 2019.

Dalam kejadian itu, enjin bot yang dinaikki mati lalu dibawa arus dan terlanggar tiang jambatan. Bot berkenaan terbelah dua, rakannya dapat menyelamatkan diri tetapi Pitt hanyut dibawa arus.

DALAM kenangan: HARI Raya terakhir Farah dan anak-anak beraya dengan Mohd Firdaus Mohamed [email protected] pada tahun 2018.
Berdiri dari kiri; Dhia Farhana, Allahyarham Pitt, Farah Ahmad, Mhia Farhana dan si kecil, Thia Farhana.

Ketika kejadian Pitt baru selesai mengarah filem “Coast Guard” selama sebulan di Pahang dan sebelum itu sebulan lebih di Langkawi.

Sebelum pulang bertemu isteri, anak-anak dan ibunya, Fauziah Nawi, Pitt bercadang bersama kawannya untuk memancing bagi merehatkan minda. Namun takdir menentukan segalanya.

Farah yang sebelum ini menjalani pembedahan selama lapan jam di sebuah hospital swasta pada pertengahan Mac lalu diberi cuti dua minggu pada pertengahan April lalu oleh Juita Viden selaku penerbit drama berkenaan. Bagaimanapun demi tugas, beliau kembali ke set walaupun ‘masih berpantang.

FARAH Ahmad dan MK dalam satu babak drama ” The Hotel”

“Saya amat berterima kasih kepada pihak produksi kerana memahami keadaan saya. Sebenarnya jadual untuk pembedahan saya telah ada tarikhnya sebelum saya ditawarkan berlakon. Saya berterus terang kerana tidak mahu menyusahkan mereka yang terlibat dalam drama berkenaan. Alhamdulillah memang rezeki saya dan anak-anak kerana mereka mahukan saya dan ada tolak ansur daripada mereka,” cerita Farah yang ‘diarahkan’ duduk di kerusi roda setiap kali penggambaran untuk babak yang melibatkannya selesai.

“The Hotel” membawa kisah pembunuhan misteri yang berlaku di sebuah hotel. Babak drama yang kebanyakan berlaku ‘in-door’ menjalani penggambaran sepenuhnya di Lexis Hibiscus, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun drama arahan Helmy Yusof dihentikan bagi memberi peluang para pelakon menyambut Hari Raya Aidil Fitri esok dan akan kembali ke lokasi penggambaran tidak lama lagi.

FARAH Ahmad bersama Azhar Amir dan Natasya Elyzza dalam satu babak drama bersiri “The Hotel.”

Menurut Farah, sebagai ibu kepada tiga orang anak beliau harus bekerja keras demi kelangsungan hidup mereka empat beranak.

“Walaupun suami saya pergi tidak meninggalkan sebarang harta, namun saya redha kerana bagi saya anak-anak adalah harta yang amat berharga buat saya dalam menjalani hidup yang masih jauh lagi.

“Disebabkan itu, saya gunakan apa juga bakat dan kebolehan saya untuk mencari rezeki yang halal bagi membesarkan anak-anak,” cerita Farah Ahmad.

Sebab itu tidak hairanlah walaupun di set penggambaran drama, dalam keadaan ‘berpantang’ Farah Ahmad yang berbakat dalam bidang seni lukis membawa peralatan untuk beliau menzahirkan seni kreatifnya sebagai sumber pendapatannya.

DARI kanan: Para pelakon yang turut berlakon dalam “The Hotel” Mira Filzah, Farah Ahmad dan Yasmin Hani.

Sepanjang berada di PD, Farah telah menghasilkan lebih 50 penanda buku (bookmark) yang dijual pada harga RM25 dengan jenama Farah.

“Alhamdulillah…ramai kawan-kawan yang berminat dan membeli penanda buku hasil kreativiti saya,” kata Farah.

Farah yang kembali ke KL pada Ahad lalu kerana diberi cuti dan akan kembali ke set penggambaran selepas raya bersyukur kerana dapat bersama anak-anak tersayang dan ibu mertua yang dikasihi, Fauziah Nawi.

“Saya bersyukur sangat-sangat dapat membantu Mama dan beraya bersama. Cuma tahun ini saya tidak dapat mengambil tempahan Rempah Rendang Resipi Opah.

PENANDA buku…hasil kreatif Farah Ahmad.

“Alhamdulillah pada raya tahun lepas saya mendapat tempahan 200 botol daripada kenalan dan sahabat yang mengikuti perkembangan perniagaan kecil-kecilan saya di IG. Dengan duit itu dan apa juga pes masakan yang saya dapat digunakan untuk keperluan seharian kami,” kata Farah Ahmad yang terpaksa menghentikan gerai pelbagai jenis bubur nasi yang diusahakan akibat pandemik Covid-19.

Menyentuh mengenai perancangannya selepas raya, Farah berkata;

“Selepas raya saya dan team drama berkenaan akan kembali ke set penggambaran hingga selesai. Selepas itu saya akan meneruskan apa juga perniagaan kecil-kecilan saya demi kelangsungan hidup kami. Saya amat bersyukur dengan bakat anugerah-Nya, saya dapat mencari rezeki kerana kami tidak meminta belas ihsan daripada sesiapa cuma kami mahu hidup dengan rezeki dan hak kami.”

Apabila ditanya mengenai Tik Tok perbualan antara beliau yang menggunakan bahasa isyarat dengan ibu mertuanya, Fauziah Nawi yang amat meruntun hati para penonton, Farah memberitahu;

“Sebenarnya masa tu saya dalam perjalanan ke set penggambaran di PD dan Mama pula ke set penggambaran di Kuala Selangor. Kami bercakap tentang ‘cuti’ raya yang belum pasti kerana sibuk di lokasi masing-masing.

“Saya suka mencuba sesuatu yang baru. Saya baru belajar bahasa isyarat dan saya ‘berbual’ dengan Mama, kemudian saya share di FB. Saya tak sangka ia menyentuh hati ramai yang melihatnya.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana esok saya dan anak-anak dapat beraya bersama Mama dan Mak saya.”

REMPAH Rendang Resipi Opah, Sambal Pes airtangan Farah Ahmad yang mendapat sambutan para peminatnya yang tersendiri

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here