BANDAR SERI BEGAWAN – Umat Islam diingatkan supaya menyesuaikan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan situasi pandemik masa ini, demikian titah Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah.

Baginda bertitah, sambutan hari raya pada tahun ini, eloklah disambut secara sederhana, bukan secara besar-besaran termasuk ziarah menziarah pula perlu disesuaikan demi kebaikan.

Menurut baginda, langkah berhati-hati masih sahaja menjadi keutamaan, tidak terkecuali dalam suasana berhari raya.

”Garis panduan Sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan bagi tahun ini hendaklah dipatuhi sepenuhnya, di samping garis panduan dan nasihat yang lain,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian, pada Titah Perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1442 Hijrah / 2021 Masihi, di Istana Nurul Iman.

Brunei Darussalam menyambut Hari Ra Aidilfitri hari ini.

Menurut laporan Pelita Brunei, baginda menasihatkan rakyat supaya tidak mengabaikan keselamatan dan kesihatan, termasuk bagi pengguna-pengguna jalan raya dalam masa merayakan hari yang mulia ini.

Langkah berwaspada dan mematuhi undang-undang adalah diperlukan.
Titah baginda, kedatangan Syawal wajar disyukuri oleh umat Islam, kerana ia adalah hadiah berharga daripada Allah Subhanahu Wata’ala kepada para hamba-Nya setelah berjaya menunaikan kewajipan berpuasa.

Menurut baginda, di antara nikmat kurnia Allah kepada Brunei Darussalam ialah keadaan selamat, sehingga mengizinkan umat Islam menunaikan sembahyang Tarawih berjemaah dan bertadarus al-Quran di masjid, surau dan balai ibadat.

Sementara, pada Syawal pertama pula, dapat berkunjung ke rumah Allah untuk menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri dan situasi begini akan menambahkan lagi keceriaan dan kegembiraan menyambut Hari Raya.

“Marilah kita sama-sama menyambutnya dengan takbir dan tahmid mengagungkan Allah,” titah baginda.

Kepada golongan pekerja pula, baginda menasihatkan supaya suasana hari raya tidak dijadikan sebab atau alasan untuk meringan-ringankan tugas dan tanggungjawab selaku jentera kerajaan.

Sebaliknya titah baginda, bekerja dengan gigih dan tekun adalah merupakan satu ibadat dan amanah yang dituntut oleh ugama, justeru, janganlah ia diabaikan, kerana mengikutkan emosi semata-mata.

”Sudah biasa berlaku pada setiap tahun, bahawa terdapat pejabat yang kosong atau hampir kosong, kerana pegawai dan kakitangannya keluar berhari raya pada waktu bekerja.

”Beta mahu supaya kebiasaan yang tidak bagus ini janganlah ia berpanjangan atau sampai jadi budaya yang merugikan,” titah baginda sambil menegaskan ia bukan sahaja menyalahi peraturan, bahkan juga menyalahi ugama.

Sebagai umat Islam, titah baginda, kita perlu membetulkan kesilapan seperti ini dari berpanjangan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here