Sebahagian penunjuk perasaan yang membantah kekejaman terhadap penduduk Palestin . Foto Times of Israel

TERUS BERI SOKONGAN…Beribu-ribu penunjuk perasaan di United Kingdom (UK) telah berarak di tengah London sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin yang menjadi mangsa serangan tentera Israel di Gaza yang kini memasuki hari ke tujuh.

Sehingga kini 139 rakyat Palestin telah terkorban yang mana hampir sebahagiannya wanita dan kanak-kanak.

Sementara itu, tentera Israel juga menjadikan bangunan yang menempatkan organisasi media termasuk The Associated Press dan Al Jazeera sebagai sasaran serangan kononnya bangunan itu menempatkan aset ketenteraan Hamas.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terus bersikap angkuh berikrar akan terus bertindak balas terhadap serangan roket berterusan yang dilancarkan oleh kumpulan pejuang Hamas.

Penganjur bantahan di London, meminta kerajaan UK supaya menamatkan kekejaman yang dilakukan tentera regim Yahudi terhadap rakyat Palestin.

Dalam bantahan itu, penunjuk perasaan juga berarak ke kedutaan Israel sambil melaungkan “Bebaskan Palestin”.

Bantahan yang sama juga dilaporkan di ibu kota negara-negara Eropah termasuk Paris, Perancis.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden juga dilaporkan memberitahu Netanyahu menyatakan beliau akan terus menyokong hak Israel untuk mempertahan diri manakala ketika bercakap kepada Pemimpin Palestin, Mahmud Abbas, Biden menyatakan komitmen untuk mengukuhkan hubungan dengan Palestin dan meminta kumpulan Hamas menghentikan serangan ke atas Israel.

Bagaimanapun Mahmud yang mengawal kawasan yang diduduki di Tebing Barat, tidak mempunyai kuasa di Gaza yang dikuasai oleh pejuang Hamas dan Biden tidak akan bercakap dengan Hamas yang disifatkannya sebagai kumpulan pengganas. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here