HARIMAU Malaya perlu menang baki kelayakan pusingan kedua ini dan berharap sama ada Indonesia atau Thailand tidak menduduki tempat corot Kumpulan G. - Foto FAM
Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

HARIMAU Malaya perlu mengutip mata maksimum untuk memastikannya layak automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dan terus berentap ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 tanpa perlu menengok siapa lawan di tempat corot Kumpulan G yang dianggotainya.

Ekoran penarikan diri Korea Utara dalam Kumpulan H Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, ada kemungkinan besar enam mata Malaysia terhadap Indonesia selepas menang 3-2 dan 2-0 pada 2019 tidak lagi dikira berdasarkan keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Khamis, 27 Mei lalu.

Pemansuhan mata bagi keputusan pasukan tempat kedua dan corot kumpulan itu bertujuan mengimbangi tujuh lagi kumpulan yang masih mempunyai lima pasukan sedangkan hanya tinggal empat dalam Kumpulan H (Korea Selatan, Lebanon, Turkmenistan dan Sri Lanka).

Jika pencapaian skuad Tan Cheng Hoe lebih rendah daripada itu, maka kenalah mereka menagih harap agar yang berkesudahan di tempat corot Kumpulan G itu bukanlah Indonesia mahupun Thailand yang turut ditewaskannya 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 14 November 2019.

Potensi kehilangan enam mata dengan Indonesia pasti harga yang terlalu mahal untuk dibayar skuad negara. Sudahlah kita kehilangan hak dan kelebihan tuan rumah menentang Vietnam di ‘Kandang Harimau Malaya’ (Bukit Jalil) bagi satu daripada baki tiga perlawanan kelayakan, 11 Jun ini akibat Covid-19.

TAN Cheng Hoe (kiri) kecewa satu peluang rembatan Matthew Davies (dua dari kanan) dapat diadang penjaga gol lawan. – Foto FAM

Hanya juara kumpulan pusingan kedua ini dan empat naib juara terbaik, akan ke Piala Asia 2023 di China dan terus berpeluang merebut empat setengah tiket benua ini ke Piala Dunia 2022 di Qatar dalam pusingan ketiga kelayakan.

Ranking ke-153 dunia Malaysia, turut menipiskan peluangnya apabila berdepan Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun ini di Stadium Zabeel, Dubai – tuan rumah kelayakan yang sudah bertukar formatnya kepada karnival berpusat daripada timbal balik.

Biarpun kini hanya berada di tempat kedua corot Kumpulan G dengan enam mata dan berbaki empat perlawanan, UAE masih dilabel pilihan utama kelayakan pusingan kedua ini dengan ranking ke-73 dunianya.

Al-Abyad (Si Putih) diperkasa penjaring berbisa, Ali Ahmed Mabkhout selain dua penyerang naturalisasi dari Brazil dan seorang lagi kelahiran Argentina. Sudah dua kali bertukar ketua jurulatih, mereka kini kembali dibimbing Bert van Marwijk – bekas pengurus Belanda, naib juara Piala Dunia 2010.

Dua pemanas badan pasukan negara dan medan eksperimen Cheng Hoe pada 23 dan 28 Mei lalu, juga tidak memuaskan hatinya setelah mereka ditumpaskan Kuwait 4-1 dan Bahrain 2-0 di Stadium The Sevens, Dubai dan Stadium Nasional Bahrain, Riffa.

Malah hanya satu gol dapat dijaringkan Guilherme de Paula, penyerang naturalisasi dari Brazil di Dubai manakala kelemahan dan kecuaian Harimau Malaya dalam bertahan begitu ketara sehingga penjaga gol, Farizal Marlias selain Khairulazhan Khalid tertewas enam kali.

“Dibandingkan menentang Kuwait, permainan kita lebih baik. Walaupun banyak kelemahan dengan gol-gol kesilapan individu, kerja sepasukan kita ada peningkatan.

SAFAWI Rasid (dua dari kanan) bernasib baik boleh menentang UAE kerana kad merah dengan Bahrain tidak dikira dalam kelayakan. – Foto FAM

“Kita ada dua peluang babak pertama (rembatan kiri Matthew Davies, minit kesembilan dan tandukan tersasar Syafiq Ahmad, masa kecederaan) yang apabila tidak dapat disudahkan, menjejaskan keyakinan pasukan,” kata Cheng Hoe dalam rakaman video FAMTV di Riffa.

Gol pertama penalti Bahrain pula katanya, turut mengganggu tempo Harimau Malaya sehingga memaksa mereka bekerja lebih keras dalam mengawasi serangan balas pantas Al-‘Ahmar, pasukan di ranking ke-99 dunia yang seri 1-1 dengan Ukraine dalam persahabatan di Kharkiv, 23 Mei lalu.

“Fokus pemain kena setiap saat dan masing-masing perlu menyedari kelemahan individu. Cuma yang positifnya ketika menentang Bahrain ini, pasukan negara masih mampu membentuk kombinasi menyerang dan mencipta peluang,” katanya.

Cheng Hoe selain itu mengingatkan pemain agar mengawal emosi diri ketika berjuang di gelanggang lawan yang diakuinya memang getir dan menekan (termasuk menentang Vietnam dan Thailand di Stadium Al Maktoum, Dubai, 11 dan 15 Jun 2021 ini).

Dia merujuk kepada layangan kad merah kepada Safawi Rasid yang didapati menyimbah air mineral kepada pengadil garisan selepas sayap kanan itu dikeluarkan kerana membantah keputusan pengadil yang tidak menghukum pemain lawan mengasari Luqman Hakim Shamsudin.

BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply