al-Quran
Photo by Ali Burhan on Unsplash
Oleh Dr. Nor Hazrul Mohd. Salleh

MENJADI amalan dalam bulan Ramadhan kita membaca al-Quran, bahkan sehingga khatam 30 juzuk al-Quran sepanjang bulan. Sama ada dibaca secara sendirian atau berkumpulan (tadarus) sebagaimana sunnah Rasulullah SAW membacakan al-Quran kepada Jibril a.s. Sunnah ini diteruskan oleh para sahabat r.a dan para salaf sehinggalah ke hari ini.

Membaca al-Quran bukan setakat membaca untuk memenuhi hari-hari dalam bulan Ramadhan, bahkan dengan tujuan untuk khatam bacaan sekurang-kurangnya sekali dalam bulan Ramadhan. Namun, apabila keluar daripada bulan Ramadhan sangat susah untuk khatam bacaan al-Quran walaupun dalam masa satu tahun untuk khatam sekali bacaan al-Quran.

Al-Quran dibaca dengan tujuan ibadat kepada Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca diberikan ganjaran pahala oleh Allah. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran maka ia akan mendapat satu pahala kebaikan dan dari satu pahala kebaikan itu berlipat menjadi sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan alif-lam-mim sebagai satu huruf. Akan tetapi, alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf”. [Riwayat Bukhari]

Oleh itu, para ulamak salaf membaca al-Quran bukan hanya sekadar untuk mendapatkan ganjaran yang lumayan tersebut. Malah, menjadi amalan mereka membaca al_quran dengan tujuan untuk khatam al-Quran.

Banyak kisah para sahabat terdahulu membaca dan khatam al-Quran semasa Ramadhan dan di luar Ramadhan.

Diriwayatkan bahawa Iman al-Syafei (rahimahullah) khatam al-Quran sekali pada setiap hari dalam bulan biasa. Manakala pada bulan Ramadhan, beliau akan khatam 2 kali setiap hari. Begitulah perhatian yang besar oleh para ulamak terdahulu terhadap al-Quran.

Beginilah sepatutnya cara kita mengagungkan al-Quran sebagai kitab panduan sepanjang zaman. Persoalan yang lebih utama untuk kita bincangkan ialah: Apakah sebenarnya tanggungjawab kita terhadap al-Quran? Adakah kita sudah melaksanakannya atau tidak?

Kepentingan untuk membincangkan tanggungjawab kita terhadap al-Quran ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bersabda: “Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie RA bahawa Nabi SAW telah bersabda: Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: Untuk siapa? Baginda bersabda: Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya”. [Riwayat Muslim]

Berdasarkan hadis di atas, satu daripada nasihat dalam agama ialah nasihat kepada kitabullah iaitu al-Quran. Ianya berupa tanggungjawab yang perlu kita laksanakan terhadap al-Quran sebagai tanda kita mengagungkan al-Quran.

Secara umumnya terdapat lima (5) tanggungjawab asas terhadap al-Quran. Pertama, tanggungjawab membaca al-Quran dan menghafalnya. Membaca al-Quran akan menambahkan ilmu berkaitan Islam dan menyucikan hati serta meningkatkan taqwa.

Apatah lagi dengan membaca al-Quran diberikan ganjaran pahala yang besar oleh Allah SWT dan menjadi syafa’at iaitu penolong pada hari kiamat. Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah oleh kamu al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran akan datang menjadi syafa’at (penolong) kepada pembacanya pada hari kiamat”. [Riwayat Muslim]

Manakala menghafalnya pula akan menghidupkan hati dengan nuur (cahaya) hidayah daripada al-Quran. Malah, orang yang menghafal al-Quran akan dihargai oleh manusia di dunia dan dimuliakan Allah SWT di akhirat.

Rasulullah SAW bersabda: “Dikatakan kepada orang yang membaca al-Quran (pada hari kiamat): Bacalah dan naiklah. Bacalah al-Quran sebagaimana kamu membacanya Ketika di dunia. Kedudukan kamu (di akhirat) adalah pada ayat terakhir yang kamu baca”. [Riwayat Abu Daud dan Tirmizi]

Kedua, tanggungjawab memperelok bacaan al-Quran. Bukan semata-mata hanya membaca al-Quran, bahkan kita dituntut supaya tahsin (memperelok) bacaan. Bacaan yang elok akan menambahkan penghayatan dan akan lebih meresap dalam jiwa orang yang mendengar bacaan tersebut. Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah daripada kami orang yang tidak memperelok bacaan al-Quran”. [Riwayat Muslim]

Ketiga, tanggungjawab memahami makna al-Quran. Satu istilah yang sering digunakan pada masa kini ialah tadabbur al-Quran.

Untuk memahami al-Quran, terdapat dua cara yang boleh kita lakukan. Khususnya bagi mereka yang tiada pengetahuan Bahasa Arab. Pertama, dengan membaca terjemahan al-Quran sama ada dengan merujuk kepada al-Quran terjemahan secara umum atau terjemahan per-kata yang terdapat banyak dalam pasaran. Kedua, dengan membaca tafsir al-Quran. Kitab tafsir al-Quran terjemahan juga banyak dalam pasaran yang kita dapati dengan mudah.

Keempat, tanggungjawab mengajarkan al-Quran. Ini akan menjamin kesinambungan perlaksanaan tanggungjawab kita terhadap al-Quran diteruskan oleh generasi seterusnya. Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah mereka yang belajar al-Quran dan kemudian mengajarkannya”. [Riwayat Bukhari]

Kelima, tanggungjawab menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran. Tanggungjawab ini yang paling berat untuk dipikul. Namun, sebagai umat Islam yang mendukung al-Quran dan menerima al-Quran sebagai cara hidup (the way of life), maka mestilah berusaha untuk menghayati, seterusnya mempraktikkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.

Sebagaimana generasi para sahabat yang telah menjadi contoh dan diiktiraf sebagai generasi al-Quran yang unggul.

Tegasnya, umat Islam di seluruh dunia perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap al-Quran. Hendaklah kita bertekad untuk menambah baik daripada tahap pertama sehinggalah ke tahap tertinggi yang kita mampu dalam melaksanakan tanggungjawab kita terhadap al-Quran.

Jika tanggungjawab ini tidak dilaksanakan, maka akan mengundang keburukan atau malapetaka yang akan terjadi apabila umat Islam menjadikan al-Quran sebagai mahjura (dijauhkan).

Firman Allah SWT: “Berkatalah Rasul: “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini suatu yang mahjura (ditinggalkan)”. [Al-Furqan: 30] Semoga kita terselamat daripada segala malapetaka disebabkan pengabaian terhadap al-Quran. – BebasNews

Dr. Nor Hazrul Mohd. Salleh

Dr. Nor Hazrul Mohd. Salleh merupakan Pensyarah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here