Zynakal sewaktu membuat permohonan maaf di Instagramnya pada 31 Mei baru-baru ini.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SEJAK seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19, kehidupan kita ternyata berubah 100 peratus. Semuanya perlu dilakukan mengikut norma baharu dengan harapan dapat memutuskan rangkaian Covid-19 yang tidak diketahui bila akan berakhir.

Namun selagi digelar manusia, ada saja perkara yang di luar jangkaan akan dilakukan. Dunia semakin tua dan adab manusia pula semakin kurang.

Tidak dinafikan sifat semula jadi manusia sering melakukan kesalahan kerana kita tidak memiliki sifat maksum yang terpelihara atau bebas daripada dosa.

Namun kesilapan itu dapat dielak jika kita berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara atau prihatin dengan persekitaran kerana kita hidup bermasyarakat.

Foto di Instagram Yonnyboii yang dikomen oleh Zynakal membuatkan orang salah faham.

Sebab itulah pepatah ada mengatakan rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Masalah sekarang, dahlah rezeki sedikit sukar dicari dek pandemik, ada juga individu yang suka mencari musuh.

Terkini penyanyi Zynakal telah memuat naik permohonan maaf secara terbuka di Instagram miliknya pada 31 Mei lalu. Permohonan maafnya itu dibuat selepas ramai yang mengkritik komen yang ditulisnya di Instagram milik penyanyi Yonnyboii.

Komen yang ditulis oleh Zynakal merupakan perkataan ‘Uga Uga’ yang membawa maksud goyang di dalam Bahasa Tagalog. Namun komen tersebut telah disalah tafsir dan Zynakal dikatakan seolah-olah mempersendakan warga Sarawak.

“Tiada niat langsung untuk mempersendakan pakaian atau adat warga Sarawak, maaf jika komen saya menyakiti hati kalian dan maafkan saya🙏🏻❤️ all love all peace,” tulisnya di kapsyen Instagram sewaktu membuat video permohonan maaf.

Zynakal berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang serupa.

Dalam permohonan maafnya itu, Zynakal atau Muhammad Raziq Rosli itu berkata, beliau tiada niat untuk mempersendakan budaya mahupun adat orang Sarawak.

“Saya hanya bergurau tentang reaksi wajah Yonnyboii dalam posting yang dibuatnya.

“Di sini saya ingin menjelaskan tentang komen tersebut. Saya tiada niat untuk persenda budaya orang Sarawak, niat saya hanya mempersendakan Yonnyboii saja.

“Justeru saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya warga Sarawak yang terasa dengan komen saya di ruangan komen gambar Yonnyboii,” katanya.

Zynakal juga berjanji kejadian serupa tidak akan berulang lagi dan mengakhiri permohonan maafnya dengan kata-kata, “Kamek sayang kitak”.

Ryzal Ibrahim turut memohon maaf atas keterlanjuran gurauannya tentang pakaian tradisional kaum Iban.

Melihat pada komen yang ditinggalkan pada posting permohonan maaf itu, ada rakan artis yang memahami situasi Zynakal dan tidak menyalahkan beliau.

Antara yang memberi sokongan kepda Zynakal ialah Andi Bernadee, Ismail Izzani, Sufi Rashid dan Tuju K-Clique. Malah ada juga orang Sarawak yang meninggalkan komen yang mereka telah memaafkan Zynakal.

Apa yang berlaku terhadap Zynakal masih boleh dimaafkan oleh orang Sarawak tapi kata-kata yang dilontarkan oleh Ryzal Duriankimchi atau nama sebenarnya Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim tidak dapat dilupakan begitu saja.

Ryzal dalam satu video telah mempersenda pakaian tradisional kaum Iban hingga membangkitkan kemarahan. Apabila dikecam teruk, Ryzal tampil membuat permohonan maaf.

“Kaum Iban, saya mohon maaf. Saya faham, semua marah dan kecewa dengan perkongsian sensitif gurauan saya dan Maryam yang mengguriskan hati rakyat Malaysia khususnya kaum Iban di Sarawak.

“Saya akui tidak menjaga sensitiviti berbilang kaum di Malaysia, maka saya bertanggungjawab ke atas tutur kata dalam gurauan saya.

Dek gurauan Ryzal, isterinya Maryam turut menjadi mangsa kritikan netizen.

“Tiada sebesar zarah pun niat saya untuk menghina, apatah lagi mencetuskan perbalahan. Saya betul-betul bergurau dengan isteri namun kali ini ia melebihi batas.

“Kepada rakan-rakan yng mengenali saya minta maaf sekali lagi andai gurauan itu sungguh mengecewakan,” ungkapnya dalam video permohonan maaf tersebut.

Sesiapa saja tidak lepas daripada melakukan kesilapan dalam kehidupan tapi semua itu dapat dielak jika kita berfikir sebelum bertindak.

Semua yang baik dijadikan teladan dan sebaliknya dijadikan sempadan kerana selagi bernafas, setiap orang tidak lepas daripada melakukan kekhilafan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here