Drama Scammer, 20 episod sedang ditayangkan di Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis, pukul 11 malam.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SETIAP hari bila kita baca akhbar atau di media sosial, ada saja yang menjadi mangsa scammer waima orang bijak pandai sekalipun. Perkara ini amat membimbangkan kerana scammer atau penipu tidak kira mangsa, janji mereka mendapat keuntungan dengan cara mudah.

Bagi memberi kesedaran kepada orang ramai, syarikat produksi Radius One Sdn. Bhd., menerbitkan drama 20 episod berjudul Scammer.

Drama arahan Norhanisham Muhammad itu disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, pukul 11 malam di saluran Astro Ria (104) itu juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Menurut Norhanisham, drama Scammer mendedahkan kaedah penipuan golongan scammer menerusi telefon dan sebagainya. Beliau berharap drama ini dapat mengajar penonton untuk lebih berjaga-jaga dengan golongan sebegini.

Fasha Sandha sebagai Nisa mendapat tahu suaminya seorang scammer.

“Drama Scammer dibuat berdasarkan kisah benar. Menerusi drama ini juga turut didedahkan modus operandi skim pengubahan wang hara. Scammer juga  sarat dengan plot twist untuk beri kesedaran kepada orang ramai.

“Alhamdulillah, keseluruhan pelakon drama Scammer memberikan komitmen 110 peratus dan chemistry antara saya selaku pengarah dan mereka amat bagus. Malah, chemistry antara pelakon juga bagus.

“Mereka banyak beri effort untuk karakter masing-masing seperti Kamal Adli, Siti Saleha, Arash Mohd, Jay Iswazir, Fasha Sandha serta pelakon baharu Brian Chan yang turut memberikan komitmen penuh bagi menjayakan drama ini,” ceritanya tentang drama yang menjalani penggambaran selama 65 hari semasa Ramadan lalu.

Kamal Adli sebagai Joe dan Siti Saleha sebagai Amy dalam Scammer.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal, berkata, drama bersiri aksi Scammer khas untuk audiens yang menantikan genre berbeza daripada kebiasaan yang sering menghiasi slot drama di Astro Ria.

“Drama Scammer mengupas modus operandi yang digunakan oleh golongan scammer untuk menipu orang ramai. Kita sedia maklum, kes skim penipuan yang melibatkan golongan scammer dan aktiviti pengubahan wang haram semakin berleluasa.

“Hampir setiap hari, pelbagai laporan berita menyiarkan kisah-kisah masyarakat yang menjadi mangsa penipuan jenayah tanpa sempadan ini. Kerugian mencecah sehingga ratusan ribu atau jutaan ringgit.

“Justeru, kami dengan berbesar hati membawakan drama bersiri aksi Scammer khas untuk audiens Astro supaya dapat mengambil pengajaran daripada drama ini,” ujarnya.

Didie Alias sebagai Qina.

Tambahnya, pendedahan yang dipaparkan dalam drama Scammer boleh dimanfaatkan bersama agar masyarakat umum lebih peka dan sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya berhadapan dengan situasi tersebut.

“Kami berharap mesej yang disampaikan menerusi drama ini mampu menyuntik kesedaran mengenai jenayah scammer sekali gus mengelakkan lebih ramai masyarakat menjadi mangsa manipulasi dan sasaran jenayah tanpa sempadan ini,” katanya penuh harapan.

Sementara itu, Fasha Sandha yang melakonkan watak Nisa teruja dengan karakter tersebut kerana beliau perlu menampilkan pelbagai emosi.

“Antara babak yang paling saya suka di saat Nisa dapat tahu suaminya seorang scammer. Untuk menjayakan babak tersebut, pengarah meminta saya untuk membina emosi agar tidak terlalu down dan tidak terlalu sedih.

Khodi dan Benzooloo bergabung dalam lagu Emosi.

“Selain babak tersebut, saya juga menyenangi scene bersama pelakon Jay Iswazir kerana beliau seorang yang lucu dan kuat melatah sewaktu di set penggambaran,” katanya.

Bagi Jay Iswazir yang berperanan sebagai Fawaz dalam drama ini pernah mendapat panggilan telefon daripada seorang scammer. Namun, Jay terselamat daripada ditipu setelah rakan-rakannya memberikan nasihat dan teguran.

“Pengalaman paling menarik sepanjang terlibat dengan penggambaran drama ini adalah sewaktu sesi fogging untuk babak pecah masuk rumah. Disebabkan saya ni seorang yang melatah, secara tak sengaja, saya telah melemparkan bom asap ke arah penolong pengarah,” ceritanya tentang pengalaman di lokasi penggambaran.

Pemegang watak Darus, Hasnul menyarankan agar audiens dapat menerapkan mindset critical thinking sewaktu menonton drama ini dan jangan mudah menghukum orang lain.

Emosi runut bunyi Scammer

Untuk drama ini juga lagu Emosi dendangan komposer dan penyanyi rap, Benzooloo bersama Khodi dipilih menjadi runut bunyi untuk Scammer.

Gabungan mereka daripada genre serta latar belakang berbeza ternyata satu kombinasi menarik. Paling mengujakan, Benzooloo dan Khodi sememangnya memiliki akar muzikal yang begitu kuat untuk genre masing-masing.

Khodi timba pengalaman baharu menerusi lagu Emosi.

Sekali gus, kerjasama mereka menerusi lagu ciptaan Farouk Roman ini menjadikan Emosi ada magnet tersendiri. Emosi menggambarkan realiti zaman sekarang yang tewas dengan nafsu mengejar kekayaan. Bahkan, ada yang sanggup melakukan apa sahaja sehingga sesat dan tiada arah tujuan.

Bagi Benzooloo, tarikan utama Emosi terletak pada mesej yang disampaikan. Demikian juga rentak muziknya yang sebenarnya cukup asing namun berjaya disempurnakan dengan kerjasama dengan Farouk.

“Lagu ini berkenaan sifat manusia yang boleh berubah sekelip mata apabila melihat wang atau harta di depan mata seperti mana kita selalu lihat terjadi. Paling saya suka mengenai Emosi adalah rentaknya. Ini kerana ia pertama kali saya hasilkan rentak sebegini dan pengalaman pertama bekerja dengan Farouk.

“Saya harapkan orang senang terima dan boleh layan lagu ini. Kalau ada kekurangan, saya akan cuba perbaiki dalam percubaan lagu seterusnya. Sejujurnya saya tidak sasarkan lagu ini kepada golongan tertentu, tapi kalau ada di luar sana yang minat dengan penulisan mendalam, mungkin mereka boleh layan,” katanya.

Khodi pula bersyukur dapat peluang bekerjasama dengan Benzooloo buat julung kalinya. Beliau yakin gabungan mereka mampu mencetuskan magis tertentu khususnya bagi pendengar generasi alaf baharu.

Benzooloo, komposer dan penyanyi rap.

“Saya tertarik dengan lirik Emosi yang ditulis oleh Aisha Retno dan genre ini sangat berbeza dengan lagu saya sebelum ini. Proses rakamannya mencabar kerana genre ini terlalu baharu. Saya berusaha menyampaikan lagu ini dengan sebaik mungkin.

“Selain teruja kerana lagu ini memperlihatkan sisi berbeza saya, harapnya penyampaian saya juga berjaya serta mampu menyentuh hati pendengar. Sejujurnya, saya rasa lagu ini sangat sesuai untuk semua lapisan masyarakat sebenarnya kerana ia menceritakan tentang realiti kehidupan sekarang,” katanya.

Lagu Emosi boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, Joox, KKBox, Spotify, YouTube & YouTube Music.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here