Oleh Arrazaq Nazri

KUALA LANGAT- Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat telah melancarkan laman sesawang Qurban Online, qurbanpeladang2u.my bagi memudahkan orang ramai menunaikan ibadah korban sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Pengerusi PPK Kuala Langat, Dr.Abdul Razak Khasbullah berkata, kesemua proses termasuk pemilihan ternakan dan pembayaran terus semuanya dilakukan secara dalam talian melalui laman sesawang tersebut.

Manakala proses perkhidmatan sembelihan, melapah dan membungkus akan dijalankan di rumah sembelih pada tarikh 10,11,12 dan 13 Zulhijjah kelak.

Berikutan pandemik Covid-19, ibadah korban hanya dibenarkan dilakukan di rumah sembelihan sahaja dan bukan lagi di masjid dan surau seperti mana sebelumnya, kata beliau ketika ditemui di ladang lembu milik ahli PPK Kuala Langat di Jugra, Selangor

Abdul Razak menjelaskan pihaknya telah memilih rumah penyembelihan yang terletak di kawasan ternakan lembu ahlinya di Kampung Endah, Tanjung Sepat dan di Pulau Nyatoh, Banting bagi ibadah korban kali ini.

“Hanya peserta korban sahaja dibenarkan hadir pada hari penyembelihan dan daging yang siap dilapah akan dibawa balik oleh peserta sama ada ahli Jawatankuasa masjid dan surau bagi tujuan pengagihan,” jelas beliau.

PPK Kuala Langat telah mengendalikan ibadah korban bagi pasaran sekitar Kuala Langat sejak tahun 2011 bermula dengan 20 ekor pada tahun 2011 dan telah berkembang kepada 2,000 ekor pada tahun 2019.

Bagaimanapun, berikutan Covid-19, tahun lalu tempahannya hanya 1,200 ekor dan tahun ini pihaknya menyasarkan sebanyak 2,000 ekor dengan harga seekor RM5,000, kata Abdul Razak lagi.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here