Photo by Mufid Majnun on Unsplash
Oleh Dr. Syed Mohammad Hilmi b Syed Abdul Rahman

SYAWAL seolah-olah membisikkan sesuatu ke cuping telinga kita agar kita tempatkannya dalam hati yang paling suci serta mula bermuhasabah, bisiknya: “Saudaraku, kekasih hatimu, Rasulullah SAW sering kali menyarankan agar dilakukan amalan kebaikan secara berterusan, walaupun ia kecil atau ringan kerana di sebaliknya tersimpan ganjaran pahala yang sangat besar. Daku doakan dikau diberikan kekuatan untuk melakukannya”.

Sebetulnya banyak perkara agama yang nampak macam remeh tetapi syarak menjanjikan pahala besar kepada pelakunya, antaranya; ilmu yang disebarluaskan, kitab agama yang diwariskan, sumbangan kepada masjid yang dibina, tempat berehat yang disediakan untuk musafir, sungai yang dialirkan untuk kepentingan ramai, harta yang disedekahkan, doa anak untuk orang tua, doa untuk saudara Islam, zikir ringan yang dilantunkan oleh lisan, selawat kepada junjungan, istighfar memohon ampunan, membaca satu huruf daripada al-Quran, kelonggaran yang diberikan kepada orang yang berhutang, menjenguk orang sakit, melaungkan azan, bersegera untuk solat dan banyak lagi.

Jika dilihat secara khusus, dalam bulan Syawal terdapat satu amalan hasanah yang sangat baik dilakukan iaitu puasa sunat 6 hari. Mudah-mudahan amalan itu menjadi pendamping dan pemandu kepada mereka yang melakukannya untuk memasuki syurga dari pintu bernama al-Rayyan, pintu yang dikhususkan untuk mereka yang selalu berpuasa.

Sememangnya Islam menggalakkan umatnya bersegera melakukan amal kebaikan sebelum halangan mengadang. Dalam kitab Fayd al-Qadir Sharh al-Jami` al-Saghir, terdapat satu hadis yang memberi nasihat dan saranan agar kita bersegera menabung kebaikan sebagai bekalan hari mati, maksudnya “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara: Masa hidupmu sebelum mati, masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk, masa mudamu sebelum tua dan masa kayamu sebelum miskin”.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menyuruh umatnya bersegera melakukan amalan baik sebelum datangnya tujuh perkara yang tidak akan memberi peluang lagi kepada seorang Muslim untuk melakukannya. Tujuh perkara tersebut ialah: Kefakiran yang melalaikan, kekayaan yang membawa kepada kezaliman, kesakitan yang membinasakan (badan dan agama), usia tua yang menyebabkan ucapan yang tidak keruan lagi, kematian tiba-tiba yang tidak memberi peluang untuk bertaubat atau meninggalkan wasiat, kemunculan Dajjal iaitu seburuk-buruk makhluk ghaib yang ditunggu atau hari kiamat iaitu hari yang lebih besar bencananya dan lebih pahit untuk ditanggung.” (Lihat: Nadrat al-Na`im: 3/948).

Lantaran itu, marilah kita sama-sama baharukan azam, kukuhkan semangat untuk ikut serta memakmurkan Syawal yang akan berakhir ini dengan melakukan puasa sanat enam hari. Beberapa soalan dan penjelasan di bawah mungkin dapat menyegarkan kembali pengetahuan kita tentang kelebihan puasa sunat 6 Syawal membakar semangat untuk melaksanakannya.

Mampukan kita berpuasa berturut-turut selama setahun ?

Mungkin majoriti akan menjawab: “Tak mampu!”. Sebaliknya kalau berpuasa hanya 6 hari dalam sebulan, kita rata-rata akan menjawab: “Ya, mampu!”. Jadi bagi mendapatkan kelebihan puasa 6 Syawal yang pahalanya seperti puasa setahun, marilah kita sama-sama berusaha untuk merealisasikannya. Fadilat 6 Syawal dinyatakan dalam hadis riwayat Muslim yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian dilanjutkan dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka itu seperti (pahala) berpuasa selama setahun.
Adakah puasa Ramadan kita sudah telah sempurna?

Kebarangkalian besar kita teragak-agak untuk mengatakan puasa kita tiada cacat cederanya walaupun kita sepenuh hati mengharapkan penerimaan total daripada Allah SWT. Kita biasanya menampal pakaian yang sobek dengan perca kain yang lain, marilah tampung puasa Ramadan yang lepas dengan 6 Syawal agar kekurangan yang ada padanya dapat disempurnakan.

Kalau solat sunat rawatib yang dilakukan sebelum dan selepas solat fardu itu sejatinya berfungsi untuk menyempurnakan kekurangan yang terdapat pada ibadah solat wajib maka begitu jugalah dengan puasa. Puasa sunat Syawal berfungsi sebagai penyempurna kepada ibadah puasa Ramadan yang dilakukan tanpa menepati piawai syarak (Lata’if al-Ma`arif: 417).

Adakah benar puasa sunat itu petunjuk kepada penerimaan ibadat puasa Ramadan?
Ibn Rajab mengatakan salah satu indikasi puasa Ramadan seseorang itu diterima ialah penunaian puasa sunat secara berterusan selepasnya.

Dalam kitab Lata’if al-Ma`arif, Ibn Rajab ada catatkan kata-kata panduan daripada sebahagian ulama yang berbunyi: “Ganjaran sesuatu hasanah atau kebaikan itu adalah (kemampuan melakukan) hasanah lain selepasnya. Jadi, sesiapa yang melakukan hasanah, kemudian dia mengiringinya dengan hasanah yang lain, itu pertanda amal hasanah yang pertama itu diterima oleh Allah SWT. Demikian jugalah dengan sesiapa yang melakukan kebaikan yang selepas itu dilakukannya pula perbuatan buruk, itu petanda kebaikannya tertolak, tidak diterima”.

Tidakkah syukur itu sifat mulia penghias diri Muslim?

Dalam kalangan manusia, orang yang tidak pandai bersyukur atau berterima-kasih itu biasanya tidak disukai ramai. Rasulullah SAW ikutan terindah beribadat pada malam hari hingga bengkak kedua-dua kakinya. Apabila ditanya oleh isteri tercinta baginda, Aisyah r.a. tentang keperluan berbuat demikian sedangkan baginda seorang yang tiada dosa, jawapan junjungan adalah ringkas tetapi sarat dengan pengertian: Tidakkah pantas aku menjadi seorang hamba yang bersyukur? (Hadis riwayat Muslim).

Dalam konteks ini, puasa 6 Syawal merupakan ungkapan rasa syukur seorang hamba pada Tuhannya. Ini kerana Ramadan ialah bulan keampunan bagi dosa yang dilakukan oleh hamba sebelum kehadirannya. Bulan Ramadan ialah bulan yang dibersihkan manusia daripada dosa yang dilakukan sebelum itu.

Nah, sekarang patutkan kita berpuasa sunat sebagai tanda berterima kasih kepada Allah atas anugerah pengampunan pada bulan Ramadan?

Bagaimanakah kita setelah Ramadan berlalu?

Tidak dinafikan ramai kekasih Allah yang menangisi pemergian Ramadan tetapi tidak tersangkal juga perasaan nakal kita yang ingin Ramadan cepat minta permisi untuk berlepas pergi dek beratnya beban berpuasa dan lamanya menunggu sementara Ramadan berlalu.

Dalam pada itu, ada hamba Allah yang tidak sanggup ibadah yang dilaksanakan selama bulan Ramadan itu terputus. Ibadah Ramadan yang dilakukan pada siangnya dengan mendirikan solat fardu dan sunat, bersedekah, dan berpuasa. Malam harinya pula bertarawih, witir, dan tadarus al-Quran tidak tega ditinggalkan olehnya semata-mata dengan berlalunya Ramadan. Lalu disambungnya puasa Ramadan dengan puasa 6 Syawal dan diteruskan juga amal kebaikan lain seperti yang dilakukan selama sebulan penuh bulan Ramadan.

Kata Ibn Rajab: “Sesungguhnya pelbagai amalan kebajikan yang hamba lakukan sebagai taqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah selama Ramadan, (sepatutnya) tidak akan terputus dengan berlalunya Ramadan. Bahkan amalan tersebut tetap kekal walaupun Ramadan berlalu selama hamba itu masih hidup”.

Dikatakan kepada Bisyr bahawa terdapat sekelompok manusia beribadat dan berusaha bersungguh-sungguh pada bulan Ramadan sahaja, lalu dia membalas: “Seburuk-buruk kumpulan manusia ialah orang tidak mengetahui Allah mempunyai hak kecuali hak dalam bulan Ramadan sahaja. Sedangkan, seorang yang soleh itu ialah seorang yang beribadat dan bersungguh-sungguh (melakukan amal baik) sepanjang tahun.

Sebab itulah, apabila al-Syibli ditanya, “Mana yang lebih utama, bulan Rejab atau bulan Syaaban?” Beliau menjawab, “Jadilah dikau seorang Rabbani (hamba Allah yang selalu beribadah kepada-Nya di setiap waktu dan tempat), janganlah sekali-kali jadi Syaabani (orang yang hanya beribadah dalam bulan Syaaban atau bulan lain).” (Lata’if al-Ma’arif: 421). Bahkan sebahagian ulama salaf berkata: Berpuasalah (sepanjang masa di) dunia dan jadikanlah mati sebagai waktu berbuka. Sarwajagat ini keseluruhannya hanyalah sebulan. (Nida’ al-Rayyan:163).

Moga Allah SWT menerima amalan mereka yang telah selesai menjalankan ibadat puasa sunat enam Syawal dan memberikan kekuatan kepada kita yang ingin memulakannya. Didoakan juga agar mereka yang tidak berkesempatan melakukannya kerana keadaan dan kebiasaan kerja yang menghalang, dapat melakukan pelbagai hasanah lain.

Pokok, dahan dan ranting hasanah dan amalan baik dalam Islam itu amat banyak. Moga semua dapat lakukan amal baik semampu boleh untuk bekalan diri pada hari muka nanti.

– BebasNews

Dr. Syed Mohammad Hilmi

Dr. Syed Mohammad Hilmi b Syed Abdul Rahman merupakan pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here