SHAH ALAM – Seorang peniaga ayam bakar telah dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Shah Alam atas tuduhan bersubahat memberikan rasuah kepada pegawai polis sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap rakannya yang memiliki dadah syabu pada minggu lalu.

Mohd Nizam Mohamed Lazim, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie di sini, hari ini (3 Jun).

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang juga bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa sambilan didakwa bersubahat dengan rakannya berusia 39 tahun untuk memberi suapan RM120,000 kepada seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Kejadian didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Jalan Mahagoni di sini pada jam 9 malam, 24 Mei lalu.

Atas pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab mencadangkan tertuduh diikat jamin RM100,000 selain menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan.

Bagaimanapun, setelah mendengar rayuan tertuduh yang diwakili peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim, Rihaida telah mengurangkan ikat jamin kepada RM15,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 12 Julai depan sebagai sebutan semula kes.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here