Salah seorang pesakit Covid-19 diberikan rawatan- Foto ihsan KKM

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 1 Jun lalu dilaksanakan untuk mengelak sistem perkhidmatan kesihatan negara daripada lumpuh menjelang Sabtu ini, dakwa Menteri kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba .

Beliau berkata, pelaksanaannya berdasarkan unjuran situasi terburuk di Malaysia memandangkan kadar jangkitan harian semakin meruncing, mencecah 9,020 kes pada 29 Mei lalu.

“Selain itu, kita juga bimbang dengan peningkatan penularan jangkitan daripada pelbagai varian baharu, iaitu Afrika Selatan, United Kingdom, India dan Nigeria,” kata beliau dalam satu sidang akhbar di sini hari ini, lapor berita Harian.

Mengikut penilaian Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Adham berkata, kapasiti hospital berdasarkan bilangan kes harian COVID-19 pada asasnya diukur berdasarkan empat tahap.

Tahap pertama ialah apabila jumlah purata jangkitan dalam tempoh tujuh hari kurang 4,000 kes, sekali gus meletakkan kapasiti perkhidmatan hospital ketika itu di tahap optimum.

Kapasiti perkhidmatan hospital menjadi terhad dan bertukar kepada tahap kedua, apabila jumlah purata jangkitan dalam tempoh tujuh hari meningkat kepada lingkungan 4,000 hingga 8,000 kes.

Lebih membimbangkan apabila kapasiti perkhidmatan hospital di ambang lumpuh, iaitu tahap ketiga ketika jumlah purata jangkitan dalam tempoh tujuh hari meningkat kepada lingkungan 8,001 hingga 13,000 kes.

Oleh kerana Malaysia pernah berada di tahap itu susulan peningkatan kes melangkaui 9,000 sebelum ini, Dr Adham berkata, kerajaan perlu melakukan keputusan penting dan tindakan pembendungan berkesan bagi mengelak situasi terburuk.

“Tahap keempat yang seboleh-bolehnya ingin dielak ialah apabila kapasiti perkhidmatan hospital menjadi lumpuh, dengan purata kes dalam tempoh tujuh hari melepasi paras 13,000 kes,” katanya.

Dr Adham berkata, KKM turut melakukan penilaian risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti, berbanding kapasiti untuk tindakan oleh perkhidmatan kesihatan di peringkat negeri.

Penilaian menggunakan asas atau matriks tertentu itu dibahagikan kepada empat tahap bagi menilai sama ada kapasiti tindakan kesihatan berbanding risiko penularan jangkitan meruncing atau sebaliknya.

Beliau mengakui jururawat, doktor pakar dan pegawai perubatan yang mempunyai kemahiran khusus serta ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) terpaksa menanggung bebanan kerja hampir tiga kali ganda.

“Jumlah katil yang diperuntukkan untuk kes COVID-19 adalah 9,753 atau 27 peratus daripada jumlah keseluruhan katil hospital iaitu 35,621.

“Pengisian semua katil ini menyebabkan sumber manusia terlalu terbeban.

“Standard penyampaian perkhidmatan diubah suai seperti seorang jururawat terpaksa mengendalikan dua hingga tiga pesakit di ICU, selain bekerja dua syif, pakar atau pegawai perubatan pula ‘on call’ (bersedia bertugas) dua hari sekali,” katanya. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here